Pendidikan AI mesti seiring pengukuhan nilai, kata Anwar

KUALA TERENGGANU: Penguasaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu dalam pendidikan perlu berjalan seiring dengan penghayatan agama, adab, akhlak dan jati diri, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Beliau berkata perubahan landskap pendidikan menuntut pelajar serta tenaga pengajar menguasai disiplin ilmu baharu supaya generasi muda tidak ketinggalan dalam dunia yang semakin kompetitif. Jika sebelum ini komputer dan teknologi digital belum menjadi sebahagian daripada sistem pembelajaran, AI kini menjadi cabaran dan keperluan yang perlu diberikan perhatian.
“Kita kekalkan asas pendidikan tradisional, tetapi kita tidak mahu anak-anak kita ketinggalan dalam dunia yang penuh persaingan ini.
“Penguasaan bahasa, kecerdasan, disiplin dan ilmu baharu termasuk AI perlu diberikan perhatian,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Kali Ke-46 dan Hadiah Kecemerlangan Pendidikan di Taman Tamadun Islam.
Anwar berkata pendidikan perlu berteraskan konsep “menggapai di langit, mengakar di bumi”, iaitu meneroka kemajuan teknologi dan ilmu baharu tanpa mengabaikan asas kehidupan. Usaha menggapai di langit, katanya, merangkumi penerokaan pemikiran baharu, penguasaan teknologi serta mengikuti perkembangan semasa, termasuk AI dan peralihan tenaga.
Sebaliknya, “mengakar di bumi” membawa maksud memperkukuh akidah, akhlak, sahsiah, nilai, budaya tempatan, bahasa dan kemanusiaan. Beliau mengingatkan agar usaha mengejar teknologi tidak menyebabkan masyarakat meninggalkan asas tersebut.
“Jangan kita hanya mengejar teknologi baharu sehingga meninggalkan akar kita.
“Pendidikan mesti menggabungkan kedua-duanya,” katanya.
Beliau turut berkata kecemerlangan akademik dan penguasaan teknologi tidak memadai jika seseorang kehilangan nilai kemanusiaan serta keprihatinan terhadap penderitaan orang lain. Sistem pendidikan, katanya, bukan sekadar mengumpulkan ilmu, tetapi perlu membentuk insan berakhlak dan peka terhadap isu kemanusiaan sejagat.
Anwar juga menyentuh keperluan memperkukuh tradisi ilmu Islam menerusi pengajian kitab dan hadis, termasuk penganjuran majlis khatam kitab hadis Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Sunan al-Tirmizi. Budaya membaca turut perlu diperkasakan sebagai antara asas penting tradisi keilmuan Islam.
Beliau menggesa pihak sekolah memastikan pelajar menggunakan musim cuti persekolahan untuk kegiatan bermanfaat, antaranya menghafaz al-Quran, mengikuti pengajian agama dan membaca sekurang-kurangnya dua buku dalam tempoh tertentu.