Penapisan filem lebih progresif tetap perlu jaga sensitiviti masyarakat

KUALA LUMPUR: Pendekatan penapisan filem yang lebih progresif tidak bermakna kawal selia dilonggarkan tanpa batasan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.
Beliau berkata, penilaian kandungan perlu mengambil kira konteks penceritaan, nilai artistik dan kesesuaian umur penonton, selain terus memelihara sensitiviti agama dan kaum serta nilai dan norma masyarakat Malaysia.
Menurutnya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyokong pembangunan industri perfileman yang kreatif, berkualiti dan berdaya saing. Sokongan itu termasuk memberi ruang kepada pengkarya meneroka idea, mengetengahkan pemikiran kritis dan menghasilkan karya yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kerajaan berpandangan bahawa kebebasan berkarya dan tanggungjawab sosial perlu bergerak seiring. Usaha memperluas ruang kreativiti tidak seharusnya mengorbankan keharmonian masyarakat, sebagaimana usaha memelihara sensitiviti masyarakat tidak seharusnya membataskan kreativiti secara tidak wajar,” katanya.
Fahmi berkata, keseimbangan antara kreativiti dengan tanggungjawab itu penting supaya industri perfileman negara berkembang secara matang, bertanggungjawab dan berdaya saing. Beliau menjawab pertanyaan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai pendirian kementerian terhadap pendekatan penapisan lebih progresif seperti dicadangkan FINAS.
Wan Razali turut bertanya sama ada garis panduan sedia ada akan disemak bagi memastikan kandungan karya, termasuk yang disiarkan melalui platform penstriman digital, tidak melanggar batas sensitiviti agama dan kaum.
Mengulas bidang kuasa berkaitan, Fahmi berkata FINAS berperanan membangunkan industri perfileman, manakala penapisan dan klasifikasi filem dikendalikan Lembaga Penapis Filem (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Pelaksanaannya berpandukan Akta Penapisan Filem 2002 dan Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) 2024.
Beliau berkata GPPF 2024 menumpukan tiga teras, iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan serta moral dan sosiobudaya. Kementerian Komunikasi melalui FINAS, katanya, akan terus bekerjasama dengan KDN dan LPF bagi memastikan penapisan serta klasifikasi kekal relevan dengan perkembangan industri, tanpa mengabaikan kepentingan dan keharmonian masyarakat.
Bagi kandungan penstriman digital, Seksyen 2(3) Akta Penapisan Filem 2002 menetapkan penapisan di bawah akta itu tidak terpakai kepada filem yang ditayangkan menerusi Internet atau intranet. Namun, Fahmi berkata pengecualian itu tidak bermakna kandungan di platform berkenaan bebas daripada undang-undang negara.
Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengawal selia kandungan dalam talian berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, termasuk melalui kerangka kawal selia kendiri industri berpandukan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Kod itu turut menekankan sensitiviti agama dan kaum serta kandungan yang berpotensi mencetuskan kebencian atau permusuhan. MCMC, katanya, akan meneliti kesesuaian kerangka dan garis panduan sedia ada, termasuk keperluan kawal selia kandungan penstriman digital, agar kekal relevan dengan perkembangan teknologi dan perubahan corak penggunaan kandungan.