Pemandu Tesla mengaku salah atas kematian Noor Lela
KULIM – Seorang jurutera kilang, N Dinendran, 29, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Noor Lela Zainon, 39. Kejadian itu didakwa berlaku pada 23 November lalu.
Pengakuan dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah. Mengikut pertuduhan, Dinendran memandu sebuah kereta elektrik jenis Tesla secara berbahaya di Jalan Lampu Isyarat Simpang Empat Kilang Schott, Taman Teknologi Tinggi Kulim, pada jam 11.50 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Fadilla Mohamad Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), V Nyanasegaran.
Pihak pendakwaan memohon hukuman ditangguhkan bagi mendapatkan laporan penuh bedah siasat dan laporan kimia, serta menawarkan jaminan RM10,000. Nyanasegaran memohon supaya jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM4,000 sebulan dan menyesal atas kejadian berkenaan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin. Lesen memandu tertuduh digantung dan pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. Sebutan semula ditetapkan pada 11 Januari 2027 sementara menunggu laporan bedah siasat.
Laporan sebelum ini menyatakan seorang pekerja kilang maut selepas kereta Proton Saga yang dipandunya dirempuh sebuah kenderaan elektrik yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah.