Hakim Danish sasar tutup musim Moto3 dengan keputusan membanggakan

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, bertekad menutup kempen Kejuaraan Motosikal Dunia 2026 dengan keputusan membanggakan apabila beraksi pada Grand Prix (GP) Valencia hujung minggu ini.
Pelumba berusia 19 tahun yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mahu mempamerkan prestasi lebih kompetitif selepas menamatkan GP Portugal di kedudukan ke-16 minggu lalu. Kini di tangga kesembilan keseluruhan dengan 125 mata, beliau berpeluang memperbaiki kedudukannya pada pusingan penutup di Litar Ricardo Tormo.
Hakim Danish pernah beraksi di litar itu musim lalu sebagai pelumba gantian MT Helmets-MSI, menggantikan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka, yang mengalami kecederaan. Pada penampilan tersebut, beliau menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14 dan mempunyai sedikit pengalaman mengenai karakter litar berkenaan.
Bagaimanapun, Hakim Danish berkata masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan persediaannya lebih mantap. Beliau mahu bekerja keras sejak sesi latihan bebas pertama (FP1) hingga perlumbaan sebenar.
“Saya sangat teruja untuk memulakan saingan hujung minggu ini dan sudah tentu lebih bersemangat untuk mendapatkan keputusan lebih baik selepas agak kecewa dengan prestasi pada perlumbaan sebelum ini.
“Saya akan bekerja keras bermula sesi latihan bebas pertama (FP1) sehingga perlumbaan sebenar, kekal fokus, memberikan 100 peratus komitmen dan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan terbaik,” katanya.
Beliau turut mengakui perlu menyesuaikan diri dengan pantas terhadap keadaan litar dan cuaca, selain meneliti semula bahagian yang menjadi kelemahannya.
“Bagi perlumbaan di litar Valencia, saya tahu sebelum ini saya agak bergelut di trek ini. Jadi, saya akan meneliti semula beberapa bahagian yang menjadi kelemahan, cuba memperbaikinya serta menyesuaikan diri dengan cepat terhadap keadaan cuaca dan litar.
“Saya berharap semua dapat mendoakan kejayaan saya pada perlumbaan hujung minggu ini,” katanya.