Armizan hargai usaha KDN, PDRM bongkar sindiket penyeludupan dadah
SHAH ALAM – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, merakamkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan membongkar sindiket penyeludupan dadah yang telah lama beroperasi. Ahli Parlimen Papar itu berkata, usaha menumpaskan kegiatan jenayah terancang bukan sesuatu yang mudah.
“Pastinya bukan mudah memecahkan tembok kartel ini. Moga komitmen, keberanian dan ikhtiar ini menjadi amal yang mendapat pulangan keberkatan ALLAH SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mendedahkan sebanyak tiga tan dadah disyaki methamphetamine atau syabu, bernilai RM156 juta, diseludup menerusi dua pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024.
Menurut Saifuddin, kegiatan itu dikesan hasil risikan berterusan PDRM yang mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan melalui kedua-dua pangkalan berkenaan. Sebanyak 14 transaksi melibatkan Pangkalan TUDM Labuan dengan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta, manakala tujuh transaksi melalui Pangkalan TUDM Tawau membabitkan 1.8 tan dadah bernilai RM93 juta.
Beliau turut memaklumkan bahawa 13 individu telah ditahan setakat ini. Mereka termasuk tujuh pegawai TUDM, terdiri daripada lima pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat, serta enam orang awam.
Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa turut merampas 96.64 kilogram methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta. Tiga kenderaan dengan nilai RM172,062 juga disita. Fakta mengenai penemuan dan penahanan itu didedahkan Saifuddin ketika menjelaskan kegiatan penyeludupan melalui pangkalan TUDM di Labuan dan Tawau.