PBM bertanding tiga kerusi pada PRN Sarawak, Larry Sng pilih Pelagus

PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan bertanding di tiga kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak bulan depan, sekali gus menjadi penyertaan sulung parti itu dalam pilihan raya negeri berkenaan. Presidennya, Larry Sng, akan bertanding di kerusi Pelagus.
Sng berkata beliau tidak akan melepaskan kerusi Parlimen Julau walaupun bertanding dalam pilihan raya negeri. “Saya tidak akan melepaskan kerusi Parlimen Julau. Ini cuma menambah kerja dan tanggungjawab,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata keputusan untuk bertanding di Pelagus dibuat selepas menerima permintaan daripada penyokongnya di kawasan itu. Sng pernah menjadi wakil rakyat Pelagus selama dua penggal, dari 2001 hingga 2011.
Kerusi Pelagus mempunyai majoriti pengundi Iban, dengan masyarakat itu merangkumi 97.7% daripada pengundi. Sng berkata beliau akan mengumumkan dua lagi kerusi yang akan ditandingi PBM esok.
Pada pilihan raya negeri lalu, Pelagus dimenangi Wilson Nyabung Ijang dalam pertandingan lima penjuru. Sng akan mencabar Cerisologo Sabut daripada Gabungan Parti Sarawak bagi kerusi itu.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 28 Nov, manakala pengundian akan berlangsung pada 12 Dis. Pengundian awal pula dijadualkan pada 8 Dis.