Tarif baharu Trump cetus bantahan rakan dagang, pasaran global tertekan

WASHINGTON: Beberapa rakan dagang utama Amerika Syarikat (AS) membantah cadangan tarif baharu Presiden Donald Trump yang diumumkan pada Rabu, ketika pasaran kewangan global merosot susulan kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan dan pertumbuhan ekonomi dunia.
Pentadbiran Trump mengenakan tarif baharu terhadap 14 rakan dagang utama, termasuk China, Kesatuan Eropah (EU), Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam. Langkah itu susulan siasatan perdagangan yang mendakwa beberapa negara mendapat kelebihan tidak adil melalui lebihan kapasiti pengeluaran, sehingga membanjiri pasaran global dengan barangan murah.
China menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai alasan politik. Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, berkata dakwaan mengenai “lebihan kapasiti” tidak berasas, sambil menggesa Washington dan Beijing mengekalkan hubungan stabil.
EU juga menolak asas siasatan berkenaan. Jurucakap Suruhanjaya Eropah, Olof Gill, berkata Brussels akan meneliti penemuan AS, namun tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa Eropah menjadi punca lebihan kapasiti pengeluaran global.
“Sebaliknya, Eropah antara pihak yang paling terdedah kepada kesan lebihan kapasiti tersebut,” katanya.
Kerajaan Switzerland turut menolak tuduhan yang timbul daripada siasatan itu. Norway pula menyambut baik keputusan Washington mengecualikan negara berkenaan daripada pusingan tarif terbaharu.
Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide, berkata negaranya tidak mengamalkan dasar yang menyumbang kepada lebihan kapasiti, manakala pengeluaran syarikat Norway berasaskan permintaan pasaran.
Pakar ekonomi memberi amaran bahawa langkah Washington boleh meningkatkan tekanan inflasi dan menambah ketidaktentuan ekonomi global menjelang 2027. Rachel Ziemba dari Center for a New American Security berkata pengumuman menjelang sidang kemuncak G20 bulan depan berpotensi membuka ruang rundingan, tetapi pada masa sama meningkatkan risiko turun naik ekonomi.
Pasaran kewangan AS mencatatkan kerugian ketika pelabur menilai kesan tarif terhadap perdagangan dan pertumbuhan. Indeks Nasdaq menjunam 3.9 peratus dalam dagangan awal, manakala S&P 500 merosot 2.8 peratus dan Dow Jones susut 1.4 peratus.
Hasil bon kerajaan AS dan Eropah turut menurun, mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap prospek ekonomi global. Tarif tertinggi yang dicadangkan ialah 20 peratus ke atas China, selain tarif sedia ada yang dikenakan Trump ketika penggal pertamanya sebagai presiden.