Pasangan ditahan selepas disyaki tinggal bersama hingga lahirkan bayi

JOHOR BAHRU: Sepasang kekasih berusia 21 dan 20 tahun ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Uda, awal pagi hari ini, selepas disyaki melakukan persetubuhan luar nikah sehingga melahirkan seorang bayi.
JAINJ berkata, pasangan itu ditahan pada 1.50 pagi selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai mereka. Ketika pemeriksaan, penguat kuasa menemukan seorang bayi sedang tidur di atas toto di kediaman berkenaan.
Menurut kenyataan JAINJ, pasangan itu mengaku bayi berkenaan ialah anak hasil hubungan mereka walaupun mereka tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah. Pemuda terbabit masih bujang, berasal dan bekerja di daerah ini, manakala wanita itu berasal dari Muar.
Siasatan mendapati pasangan berkenaan menyewa kediaman itu pada kadar RM800 sebulan dan tinggal bersama seperti suami isteri sejak setahun lalu. Kedua-duanya mengakui mempunyai hasrat untuk berkahwin, namun belum menetapkan tarikh atau membuat sebarang persediaan.
JAINJ berkata, pasangan itu dipercayai mengambil keputusan tinggal bersama terlebih dahulu tanpa ikatan perkahwinan sebelum hubungan berkenaan membawa kepada kelahiran seorang anak.
Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 berkaitan kesalahan persetubuhan luar nikah.