Gangguan elektrik di Pantai Timur Sabah jejas lebih 230,000 pengguna

Sumber: Astro Awani
Gangguan elektrik di Pantai Timur Sabah jejas lebih 230,000 pengguna
Gambar: Astro Awani

LAHAD DATU: Lebih 230,000 pengguna di seluruh kawasan Pantai Timur Sabah terjejas akibat gangguan bekalan elektrik yang dilaporkan berlaku di wilayah itu.

Menurut sumber, gangguan berkenaan dipercayai berpunca daripada sebuah menara penghantaran elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang tumbang. Bagaimanapun, punca kejadian belum disahkan secara rasmi.

Tempoh pemulihan bekalan dijangka bergantung pada tahap kerosakan dan kerja pembaikan yang perlu dilakukan. Ketika dihubungi, SESB memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media rasmi hari ini bagi menjelaskan situasi sebenar, termasuk punca kejadian serta perkembangan usaha memulihkan bekalan.

Insiden itu mengimbau kejadian pada 13 September 2025, apabila sebuah menara penghantaran elektrik 275 kilovolt (kV) di Kampung Sarapung, Penampang, tumbang akibat tanah runtuh.

Kejadian terdahulu itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik besar-besaran di beberapa daerah Pantai Timur Sabah, termasuk Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran.

Usaha pemulihan ketika itu merangkumi pemasangan menara kecemasan bagi membolehkan talian penghantaran Kolopis-Segaliud kembali beroperasi. Bekalan elektrik pulih sepenuhnya pada 17 September 2025, kira-kira empat hari selepas kejadian.