Pelaku keganasan rumah tangga sedar dan memilih mangsa, kata pakar

Sumber: Harian Metro
Pelaku keganasan rumah tangga sedar dan memilih mangsa, kata pakar
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Sikap panas baran, tekanan hidup atau pengaruh alkohol dan dadah bukan alasan untuk membenarkan keganasan rumah tangga kerana pelaku sedar serta memilih untuk bertindak ganas terhadap pasangan, kata Pakar Perunding Kanan Jabatan Perubatan Rawatan Utama Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Sajaratulnisah Othman.

Beliau berkata ramai pelaku mendakwa hilang kawalan akibat tekanan emosi atau sifat pemarah, sedangkan kebanyakan mereka masih mampu mengawal tingkah laku dan kemarahan dalam situasi lain, termasuk ketika berdepan majikan, rakan sekerja atau pihak berkuasa.

“Seseorang mungkin memang mempunyai sifat panas baran tetapi dia memilih kepada siapa kemarahan itu mahu dilepaskan. Tidak semestinya dia akan menunjukkan kemarahan kepada bos, rakan sekerja atau polis,” katanya.

Sajaratulnisah berkata demikian ketika menjadi tetamu podcast Listen: Dengar, Fahami, Bertindak bertajuk “Di sebalik Trauma: Memahami Jiwa Keganasan Rumah Tangga” di Wisma Bernama, malam tadi. Podcast terbitan Bernama dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu diadakan bersempena Kempen Advokasi Hentikan Keganasan Rumah Tangga.

Menurutnya, keganasan rumah tangga lazimnya tidak bermula dengan serangan secara mendadak. Ia boleh bermula dengan sikap mengongkong dan mendominasi pasangan yang pada awalnya disalah anggap sebagai tanda mengambil berat.

Tingkah laku itu boleh berlanjutan kepada penderaan emosi dan fizikal, antaranya mengherdik, menolak serta menampar. Mangsa mungkin mengambil masa untuk menyedari mereka berada dalam hubungan tidak sihat.

Beliau berkata mangsa juga cenderung memaafkan atau memperkecilkan penderaan yang dialami, selain menyalahkan diri sendiri kerana menganggap tindakan atau tingkah laku mereka menyebabkan pasangan bertindak ganas.

Seorang pemandiri keganasan rumah tangga yang dikenali sebagai Dahlia, bukan nama sebenar, berkata dia berdepan penderaan selama empat tahun sepanjang perkahwinannya. Pada awalnya, dia menganggap perbuatan menolak dan pertengkaran sebagai perkara biasa dalam rumah tangga.

Dahlia juga pernah menyalahkan diri sendiri kerana merasakan sikapnya yang melawan menjadi punca bekas suaminya bertindak demikian. Orang sekeliling turut menganggapnya sebagai punca konflik, sekali gus menguatkan rasa bersalah yang dipendam.

“Bila berlaku pergaduhan dan keganasan, saya akan lari dari rumah untuk menenangkan diri. Masa itu saya menyalahkan diri sendiri. Saya fikir sebab saya melawan, sebab itu berlaku macam itu,” katanya.

Keadaan bertambah buruk selepas kelahiran anak sulungnya apabila Dahlia mengalami patah tulang hidung dan keretakan pada tangan kanan akibat keganasan bekas suaminya. Dia kemudian mendapatkan bantuan melalui Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di hospital sebelum dirujuk kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan dan menjalani kaunseling.

Kesedarannya untuk keluar daripada hubungan itu semakin kuat apabila anak sulungnya mula menceritakan kejadian keganasan yang disaksikan, termasuk ketika cuba meleraikan pergaduhan. Dahlia menasihatkan mangsa supaya mendapatkan bantuan daripada orang yang dipercayai, selain membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di hospital.

“Paling penting sebenarnya, kita kena cari orang yang boleh dipercayai untuk bawa kita keluar,” katanya.

Sementara itu, Sajaratulnisah berkata pelaku hanya boleh berubah jika mereka sendiri mahu berbuat demikian dan mendapatkan bantuan. Kajian menunjukkan seseorang tidak akan berubah hanya kerana dipaksa pasangan, mahkamah atau pihak lain.

“Untuk pelaku berubah, mesti daripada diri mereka sendiri. Mereka sendiri mesti mahu berubah. Kalau perubahan itu hanya kerana disuruh pasangan atau diarahkan mahkamah, kebanyakannya tidak berkekalan. Mereka mungkin berubah seketika, tetapi tidak semestinya berhenti daripada mendera,” katanya.

Beliau menggesa masyarakat supaya tidak menormalisasikan keganasan rumah tangga dengan menganggapnya berpunca daripada panas baran semata-mata, sebaliknya memahami bahawa keganasan ialah pilihan tingkah laku pelaku terhadap mangsa.

Mangsa yang berdepan keganasan rumah tangga boleh mendapatkan maklumat dan sokongan melalui Talian Kasih 15999 serta pertubuhan bukan kerajaan seperti Women's Aid Organisation (WAO) dan All Women's Action Society (AWAM).