PAC gesa kuota minyak masak subsidi disemak ikut keperluan sebenar

Sumber: Harian Metro
PAC gesa kuota minyak masak subsidi disemak ikut keperluan sebenar
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan menyemak kuota minyak masak bersubsidi secara berkala berdasarkan data transaksi sebenar bagi memastikan jumlah bekalan menepati keperluan domestik serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) menurunkan siling kuota bulanan daripada 60,000 tan metrik kepada 55,000 tan metrik mulai 1 Jun lepas. Bagaimanapun, anggaran keperluan domestik sebenar hanya antara 19,000 hingga 30,000 tan metrik sebulan.

Beliau berkata cadangan itu antara lapan syor penambahbaikan dalam Penyata Tindakan Susulan berhubung Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Penyata asal PAC pada 16 Julai lepas dibuat susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), yang mendedahkan kelemahan serius dalam pelaksanaan, pemantauan dan penguatkuasaan program berkenaan. Program itu membabitkan peruntukan kerajaan berjumlah RM12.138 bilion.

Mas Ermieyati berkata kaji selidik mendapati kos operasi syarikat pembungkus meningkat 9.63 peratus kepada RM2,982 bagi setiap tan metrik. Sehubungan itu, PAC menggesa KPDN menyegerakan verifikasi dokumen dan audit kos susulan bersama kilang penapis bagi mengesahkan kos yang dikemukakan sebelum keputusan dimuktamadkan.

PAC turut meminta semakan rekod stok antara syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit diperketat. Langkah itu bertujuan membendung manipulasi laporan minyak masak rosak serta penyelewengan minyak masak bersubsidi untuk dijadikan minyak masak terpakai (UCO).

Dalam usaha memastikan subsidi lebih bersasar, PAC menyambut baik pewartaan larangan penjualan dan pembelian minyak masak peket kepada bukan warganegara serta projek rintis aplikasi Mobile eCOSS. PAC mencadangkan sistem itu diintegrasikan dengan MyDigital ID atau platform bantuan sedia ada seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), BUDI MADANI RON95 dan BUDI Diesel.

KPDN juga perlu membentangkan laporan keberkesanan projek rintis sebelum pelaksanaan diperluas, termasuk untuk menangani risiko ketirisan rekod manual di kawasan tanpa capaian Internet, katanya.

Syor lain merangkumi penilaian ekonomi dan jangkaan pasaran terkini berdasarkan pergerakan harga minyak sawit mentah (CPO). PAC turut mahu peralihan kuota pembungkus sebanyak 1,370 tan metrik daripada kilang penapis milikan asing kepada pengilang tempatan mulai 1 Januari 2027 dilaksanakan secara telus tanpa menjejaskan kestabilan bekalan.

PAC menggesa penguatkuasaan dipertingkat melalui operasi bersepadu, penggunaan dron dan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tumpuan sempadan, serta pendakwaan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. Pemeriksaan berkala dan naziran fizikal terhadap syarikat pembungkus juga perlu ditambah baik bagi membanteras penyelewengan di peringkat punca bekalan.

Mas Ermieyati berkata tindakan turut diambil dengan menyahaktifkan 211 syarikat pemborong dan peruncit daripada sistem eCOSS. Penyata tindakan susulan itu disediakan selepas PAC meneliti laporan tindakan susulan muktamad KPDN yang dikemukakan pada 1 Oktober lepas dan mengadakan prosiding pada 8 Oktober dengan memanggil wakil MOF serta KPDN.