Lebih 40,000 kandungan berkaitan buli dipadam tahun ini

Sumber: Free Malaysia Today
Lebih 40,000 kandungan berkaitan buli dipadam tahun ini
Gambar: Free Malaysia Today

KUALA LUMPUR: Sebanyak 40,214 kandungan berkaitan buli dan 55 kandungan yang amat menyinggung perasaan melibatkan kanak-kanak dipadam platform media sosial susulan permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari 1 Januari hingga 15 November tahun ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, angka bagi kandungan berkaitan buli merangkumi semua peringkat umur. Jumlah itu merujuk kepada bilangan kandungan yang diturunkan, bukan jumlah kes jenayah atau mangsa yang terlibat.

Beliau berkata usaha menangani isu berkenaan dilaksanakan secara bersepadu oleh kementerian dan agensi berkaitan, mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang masing-masing.

Dalam usaha memerangi eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian, MCMC turut bekerjasama dengan polis dengan menyediakan bantuan teknikal, maklumat dan analisis forensik digital, selain melaksanakan operasi bersepadu.

Fahmi berkata demikian ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat daripada Siti Zailah Yusoff (PN-Rantau Panjang), yang bertanya mengenai jumlah kes pada 2026 berkaitan buli siber, eksploitasi seksual dan kandungan berbahaya yang menyasarkan kanak-kanak.

Zailah turut bertanya mengenai keberkesanan kerangka pelesenan platform media sosial yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Fahmi berkata operasi membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak termasuk Operation CyberGarden 2026, yang membawa kepada 69 tangkapan serta penyitaan 498,690 fail digital. Daripada jumlah itu, 204,934 fail mengandungi bahan penderaan seksual kanak-kanak.

Beliau berkata Integrated Op Pedo 3.0 yang dijalankan dari 14 hingga 16 September tahun ini berasaskan risikan bersama polis dan MCMC. Operasi itu melibatkan 52 serbuan dan 53 tangkapan, termasuk lapan remaja.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 November tahun ini, MCMC mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kes penyalahgunaan media sosial di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tindakan itu meliputi kandungan lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam dan amat menyinggung perasaan. Sebanyak 25 kes didakwa di mahkamah, 16 kes dikompaun dan surat amaran dikeluarkan dalam 41 kes.

Fahmi berkata pindaan undang-undang membolehkan pihak berkuasa dan mahkamah mengenakan hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda maksimum RM500,000. Kesalahan itu juga diklasifikasikan sebagai kesalahan boleh tangkap.

Kerajaan turut melaksanakan Kod Perlindungan Kanak-kanak di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 bagi menetapkan tahap pematuhan lebih tinggi untuk penyedia perkhidmatan berlesen.

“Penilaian berterusan akan dibuat berdasarkan tahap pematuhan dan tindakan yang diambil penyedia perkhidmatan berlesen dalam menangani kandungan berbahaya dalam talian,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Zailah mengenai kerjasama dengan platform antarabangsa untuk mempercepat penurunan kandungan penderaan seksual kanak-kanak, Fahmi berkata kerjasama antara polis dan MCMC diperkukuh.

Beliau berkata kerajaan turut menerima maklumat daripada agensi perisikan asing, manakala Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak polis memainkan peranan penting dalam usaha itu.

Kerajaan juga memberi penekanan kepada pelaksanaan pengesahan umur bagi mengelakkan kanak-kanak berinteraksi dengan orang dewasa yang berpotensi melakukan pengantunan seksual. Fahmi berkata pendekatan itu penting supaya pesalah seksual tidak mengeksploitasi media sosial untuk mendekati kanak-kanak.

Pada pertengahan Disember, beliau akan bertemu rakan sejawat dari Indonesia dan Singapura bagi menyampaikan mesej jelas kepada platform bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak sepatutnya berlaku melalui media sosial.

Mengenai cadangan mewujudkan platform khusus untuk kanak-kanak, Fahmi berkata kerajaan buat masa ini tidak bercadang membangunkannya. Beliau pada masa sama menegaskan ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau penggunaan media sosial anak-anak.