OpenAI satukan kuota ChatGPT dan Codex mulai Disember 2026

Sumber: Astro Awani
OpenAI satukan kuota ChatGPT dan Codex mulai Disember 2026
Gambar: Astro Awani

SAN FRANCISCO: OpenAI akan menyatukan had penggunaan ChatGPT dan platform pengekodan Codex di bawah satu kuota bermula Disember 2026 bagi pelanggan pelan Plus, Pro dan Business.

Langkah itu selari dengan usaha syarikat kecerdasan buatan (AI) berkenaan menggabungkan keupayaan ChatGPT Work ke dalam antara muka utama ChatGPT yang lebih ringkas.

OpenAI berkata penggunaan selepas ini akan dikira berdasarkan jumlah token yang diproses dan dijana oleh model AI. Oleh itu, kuota boleh digunakan dengan lebih cepat jika pelanggan memilih model yang lebih canggih atau menjalankan tugasan lebih kompleks.

Namun, perbualan menggunakan mod Instant Chat tidak akan ditolak daripada kuota bersama berkenaan.

Proses peralihan sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi mengelakkan gangguan terhadap aliran kerja sedia ada. OpenAI menjangkakan kebanyakan pengguna tidak akan mengalami sekatan penggunaan lebih kerap berbanding sebelum ini.

Pengguna boleh menyemak baki kuota gabungan dan waktu tetapan semula melalui halaman Settings > Usage.

Jika kuota habis, pengguna boleh menunggu sehingga ia ditetapkan semula, menaik taraf pelan langganan atau membeli kredit tambahan untuk meneruskan penggunaan ciri yang layak.