Kerajaan tiada rancangan gabung LHDN dan Jabatan Kastam

PETALING JAYA: Kerajaan tidak merancang menggabungkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan Jabatan Kastam bagi menubuhkan sebuah agensi cukai tunggal, kata Menteri Kewangan Anwar Ibrahim.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Anwar berkata model agensi cukai tunggal digunakan negara seperti United Kingdom, New Zealand dan Singapura, namun sistem Malaysia berbeza. LHDN mengurus kutipan cukai langsung, manakala Jabatan Kastam bertanggungjawab terhadap kutipan cukai tidak langsung.
Beliau berkata kedua-dua agensi berada di bawah seliaan Kementerian Kewangan, tetapi tertakluk kepada peraturan dan akta yang berlainan. Buat masa ini, kerajaan tidak bercadang menyatukan kedua-duanya.
Bagaimanapun, kerajaan akan terus menambah baik pentadbiran sistem kutipan cukai melalui kedua-dua agensi bagi meningkatkan kecekapan menangani ketirisan hasil. Putrajaya juga bekerjasama secara berterusan dengan organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia serta pakar cukai tempatan untuk memperbaik model percukaian negara dari semasa ke semasa.
Anwar menjawab soalan Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai rancangan kerajaan mewujudkan agensi cukai tunggal menerusi penggabungan LHDN dan Jabatan Kastam.
Pada Ogos, Berita Harian memetik sumber sebagai berkata Putrajaya sedang mempertimbangkan cadangan menyatukan fungsi kedua-dua agensi. Pegawai daripada agensi utama dan Bank Dunia dilaporkan membincangkan cadangan itu dalam satu mesyuarat pada Jun.