Tiada pampasan kepada perniagaan berikutan perubahan pengecualian e-invois

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan membayar pampasan kepada perniagaan yang telah menanggung kos pematuhan e-invois sebelum ambang jualan tahunan untuk pengecualian dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong di Dewan Rakyat hari ini.
Sebaliknya, kerajaan memperkenalkan insentif cukai bagi mengurangkan beban kos pelaksanaan e-invois. Insentif itu turut boleh dituntut oleh perniagaan yang kini dikecualikan daripada melaksanakan sistem berkenaan.
Liew berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai jumlah perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM3 juta yang telah melaksanakan e-invois sebelum ambang pengecualian dinaikkan pada 30 Ogos.
Antara insentif yang disediakan ialah elaun modal dipercepatkan bagi pembelian peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pakej perisian komputer. Perniagaan boleh menuntut keseluruhan elaun modal dalam tempoh setahun bagi tahun taksiran 2026 dan 2027, berbanding tempoh dua tahun sebelum ini.
Sebagai contoh, syarikat yang membelanjakan RM10,000 untuk komputer dan perisian perakaunan bagi pelaksanaan e-invois pada tahun taksiran 2026 layak menuntut keseluruhan jumlah itu sebagai elaun modal dalam tahun berkenaan. Liew berkata tuntutan penuh sekaligus membolehkan syarikat menikmati penjimatan cukai lebih awal dan membantu aliran tunai perniagaan.
Perniagaan juga layak mendapat potongan cukai sehingga RM50,000 setahun bagi kos perundingan e-invois untuk tahun taksiran 2024 hingga 2027. Liew memberi contoh syarikat yang menanggung yuran perundingan RM5,000 boleh menolak keseluruhan amaun itu daripada pendapatan perniagaan, sekali gus menjimatkan RM750 pada kadar cukai 15 peratus.
Dalam soalan tambahan, Wee meminta penjelasan sama ada pampasan khas akan diberikan kepada perniagaan yang sudah terikat dengan langganan perisian, penyelenggaraan sistem dan kontrak penyedia perkhidmatan e-invois. Liew mengulangi bahawa perniagaan yang telah melaksanakan e-invois masih layak mendapat insentif cukai berkenaan.
Beliau berkata kerajaan mengambil kira kebimbangan perniagaan sebelum memutuskan untuk menaikkan ambang pengecualian daripada RM1 juta kepada RM3 juta.