Luxon hilang majoriti, parti sentris berperanan sebagai penentu

WELLINGTON: Gabungan berhaluan kanan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, kehilangan majoriti parlimen selepas keputusan akhir pilihan raya pada 7 November diumumkan pada Jumaat, sekali gus meletakkan parti sentris Opportunity sebagai penentu pembentukan kerajaan baharu.
Keputusan awal menunjukkan gabungan diterajui Parti National pimpinan Luxon masih mampu mengekalkan kuasa. Namun, saingan sengit menyebabkan parti itu kehilangan dua kerusi dalam pengiraan akhir. Gabungan National bersama parti populis NZ First dan ACT yang berhaluan libertarian kini kekurangan satu kerusi untuk memperoleh majoriti.
Luxon sebelum ini berkata beliau mempunyai mandat untuk membentuk kerajaan seterusnya selepas pilihan raya yang berlangsung sengit dan banyak dipengaruhi peningkatan kos sara hidup di negara Pasifik Selatan itu. Beliau mentadbir kerajaan sementara sejak pengundian pada 7 November.
Bagi meneruskan pemerintahan, Luxon kini memerlukan sokongan Opportunity, parti baharu berhaluan tengah yang dipimpin Qiulae Wong. Tanpa persetujuan untuk bekerjasama, New Zealand mungkin berdepan satu lagi pilihan raya.
Parti Wong, yang berikrar membawa politik lebih berhemah serta mengambil tindakan terhadap perubahan iklim, menjadi parti pertama dalam beberapa dekad yang memasuki Parlimen tanpa bekas menteri kabinet sebagai pemimpin. Wong berkata partinya bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai jumlah kerusi paling banyak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tuntutan utama Opportunity berhubung tindakan terhadap perubahan iklim, kos sara hidup dan usaha membersihkan politik tidak boleh dirunding. Ketika berkempen, Wong turut menolak kemungkinan bekerjasama dengan kerajaan yang melantik pemimpin NZ First, Winston Peters, sebagai menteri luar.
Pendirian itu dibuat selepas Peters memberitahu seorang penggubal undang-undang berketurunan Cina supaya “kembali ke negara sendiri”. Selepas pilihan raya, Luxon dan pemimpin Parti Buruh pembangkang, Chris Hipkins, masing-masing mengadakan pertemuan panjang dengan Wong.
Kenaikan Wong sebagai tokoh penentu dalam pembentukan kerajaan baharu menandakan perkembangan pesat bagi ahli politik berusia 38 tahun itu. Bekas perunding KPMG tersebut mengambil alih parti yang hanya mencatat kira-kira satu peratus dalam tinjauan pada Ogos tahun lalu.
Wong menyifatkan pendekatan partinya sebagai “politik pragmatik” untuk menangani polarisasi yang semakin meningkat. Beliau berkata mahu “meredakan keadaan sedikit dan memberi tumpuan kepada usaha memajukan negara”.
Selepas pilihan raya, Wong berkata kemenangan partinya mencerminkan perubahan besar selepas sedekad peningkatan populisme dan ekstremisme di seluruh dunia. “Saya fikir kita melihat desakan global untuk politik yang lebih pragmatik,” katanya kepada wartawan, sambil menambah populisme tidak memberikan hasil.
Dengan pengiraan rasmi selesai, pembentukan kerajaan baharu mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan. Selepas pilihan raya 2023, Luxon mengambil masa lebih enam minggu untuk membentuk gabungan bersama NZ First dan ACT.