Pinjaman baharu tahunan turun, hutang lama masih perlu dibayar – Anwar

KUALA TERENGGANU: Kerajaan perpaduan mengurangkan pinjaman baharu tahunan daripada kira-kira RM100 bilion ketika mengambil alih pentadbiran negara kepada sekitar RM70 bilion ketika ini, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pengurangan itu dilakukan secara berperingkat, namun kerajaan masih perlu membayar dan melunaskan hutang lama yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu. Hutang berkenaan termasuk yang melibatkan 1MDB, Felda dan Tabung Haji (TH).
“Pinjaman lama itu masih dikenakan faedah yang perlu dibayar. Hutang melibatkan 1MDB, TH dan Felda masih perlu diselesaikan sehingga hari ini.
“Saya hanya mengurangkan pinjaman baharu, tetapi hutang lama masih perlu dibayar. Sebab itulah jumlah keseluruhan hutang negara masih kelihatan tinggi,” katanya pada satu acara di sini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan perlu terus memenuhi tanggungan hutang itu bagi melindungi kedudukan kewangan negara serta memastikan institusi berkaitan dapat terus beroperasi.
Beliau berkata kerajaan perlu membayar hampir RM1 bilion setahun bagi menyelesaikan hutang lama Felda. Tanggungan berkaitan TH juga perlu dipenuhi bagi melindungi dana pendeposit dan kebajikan jemaah haji, katanya.
“Pengurusan kewangan negara secara berhemah penting bagi memastikan kerajaan dapat memenuhi komitmen sedia ada tanpa menjejaskan keupayaannya menyediakan bantuan dan kemudahan kepada rakyat,” katanya.