Nestlé Malaysia perkukuh keselamatan jalan raya dengan teknologi AI

KUALA LANGAT: Nestlé Malaysia memperkukuh keselamatan jalan raya dalam operasi logistiknya menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI), pemantauan masa nyata dan penilaian risiko. Inisiatif itu dibentangkan Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, pada majlis Transport Excellence Day 2026 di Nestlé Distribution Centre, di sini hari ini.
Juan berkata, syarikat mengendalikan lebih 200 kenderaan berat setiap hari untuk menghantar produk ke seluruh negara, selain perjalanan yang merentasi Malaysia dan Singapura. Menurutnya, tanggungjawab syarikat bukan sahaja memastikan produk dihantar, malah turut melindungi pemandu serta pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata kamera papan pemuka berasaskan AI dan sistem telematik membantu mengenal pasti risiko pemanduan lebih awal. Maklumat daripada teknologi itu membolehkan langkah pencegahan diambil sebelum berlaku kejadian tidak diingini.
“Dengan lebih daripada 200 kenderaan berat yang menghantar produk kami ke seluruh Malaysia setiap hari, pengangkutan jalan raya adalah sesuatu yang dipandang serius.
“Tanggungjawab kami tidak berakhir selepas produk meninggalkan kilang, sebaliknya turut merangkumi usaha melindungi pemandu kami serta pengguna jalan raya yang berkongsi laluan dengan mereka,” katanya.
Nestlé Malaysia mengendalikan kira-kira 6,500 perjalanan dari kilang ke pusat pengedaran dan gudang utama pelanggan setiap bulan, meliputi jarak hampir 900,000 kilometer. Juan berkata, sistem pemantauan bersepadu membolehkan pergerakan kenderaan dipantau secara masa nyata serta membantu mengesan tingkah laku pemanduan berisiko.
Antara risiko yang dikenal pasti termasuk memandu melebihi had laju, membrek secara mengejut, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan keletihan pemandu. Menurut Juan, maklumat itu membolehkan syarikat bersama rakan pengangkutannya memberikan bimbingan khusus kepada pemandu dan mengambil tindakan pencegahan bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Selain penggunaan teknologi, syarikat melaksanakan 55 penilaian pengurusan risiko bagi mengenal pasti potensi bahaya sepanjang laluan penghantaran. Penilaian itu meliputi persimpangan berisiko tinggi, kawasan yang kerap berlaku kemalangan serta lokasi yang sesuai untuk pemandu berehat.
Usaha lain termasuk pemeriksaan lori secara digital, aktiviti pemanduan berhemah, taklimat keselamatan kepada pemandu dan penilaian berkala bersama rakan pengangkutan. Juan berkata, pelbagai inisiatif itu menyumbang kepada pencapaian sifar kematian dan insiden jalan raya dalam operasi logistik Nestlé Malaysia setakat ini pada 2026.
Beliau berkata usaha berkenaan turut menyokong aspirasi Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih selamat, cekap dan lestari. “Kami menghargai sokongan berterusan kerajaan, rakan pengangkutan dan industri yang lebih luas untuk mendukung keutamaan yang dikongsi bersama ini,” katanya.