Najib tarik balik permohonan hidupkan semula saman RM1.9 juta terhadap Tommy Thomas

Sumber: Astro Awani
Najib tarik balik permohonan hidupkan semula saman RM1.9 juta terhadap Tommy Thomas
Gambar: Astro Awani

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik permohonannya di Mahkamah Persekutuan untuk menghidupkan semula saman sivil RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, hari ini, bagi memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting.

Peguam Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, memaklumkan keputusan itu kepada panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah. Peguam Alan Adrian Gomez, yang mewakili Thomas, mengesahkan penarikan balik permohonan berkenaan.

“Pemohon (Najib) memutuskan untuk memberikan tumpuan kepada perkara yang lebih penting dan sehubungan dengan itu, beliau berhasrat menarik balik permohonan ini. Penarikan balik itu dipersetujui rakan peguam saya dengan kos RM10,000,” kata Firoz.

Panel yang turut dianggotai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar membatalkan permohonan itu. Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar kos RM10,000 kepada Thomas, selaras dengan persetujuan kedua-dua pihak.

Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 13 Jan 2026. Mahkamah Rayuan sebelum itu menolak rayuan Najib untuk menghidupkan semula saman berkenaan, manakala Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman itu pada 25 Nov 2022.

Pada 10 Feb tahun ini, Najib memfailkan notis usul bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan dan mengemukakan tiga persoalan undang-undang untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan. Saman yang difailkan pada 22 Okt 2021 itu menuntut ganti rugi RM1.9 juta atas dakwaan Thomas melakukan salah laku dalam jawatan awam ketika mendakwa Najib berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam saman itu, Najib mendakwa Thomas bertindak dengan niat jahat ketika mengemukakan pertuduhan terhadapnya berkaitan 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC). Pertuduhan jenayah berkenaan termasuk salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta beberapa pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Najib antara lain memohon penghakiman deklaratori bahawa Thomas melakukan salah laku dalam jawatan awam. Beliau turut menuntut ganti rugi khas RM1.9 juta, termasuk kos mendapatkan khidmat pasukan audit untuk meneliti dokumen dan menyediakan pembelaannya dalam prosiding jenayah berkenaan. Thomas berkhidmat sebagai Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.