Najib tarik balik usaha terakhir hidupkan saman RM1.9 juta terhadap Tommy Thomas

Sumber: Free Malaysia Today
Najib tarik balik usaha terakhir hidupkan saman RM1.9 juta terhadap Tommy Thomas
Gambar: Free Malaysia Today

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak, menarik balik permohonan terakhirnya untuk menghidupkan semula saman RM1.9 juta terhadap bekas peguam negara, Tommy Thomas, selepas menggugurkan permohonan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan hari ini.

Peguam Najib, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, memaklumkan perkara itu kepada panel tiga hakim di Putrajaya. Beliau berkata Najib menarik balik permohonan itu untuk memberi tumpuan kepada “isu-isu mendesak”. Peguam Thomas bersetuju menerima kos sebanyak RM10,000, kata Firoz. Perkara itu disahkan peguam Thomas, Alan Adrian Gomez.

Hakim Hashim Hamzah, yang mengetuai panel bersama Hakim Ruzima Ghazali dan Azimah Omar, kemudian membatalkan permohonan berkenaan. Najib hadir di mahkamah, manakala galeri awam dipenuhi ahli keluarga dan penyokongnya.

Najib memfailkan permohonan kebenaran merayu itu pada Mac bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan penolakan samannya. Pada 13 Jan, panel Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim P Ravinthran, Wong Kian Kheong dan Nadzarin Wok Nordin menolak rayuannya serta mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Nov 2022 untuk membatalkan saman itu.

Saman berkenaan difailkan pada 2020, dengan Najib mendakwa Thomas melakukan salah laku dalam jawatan awam, proses berniat jahat dan kecuaian dalam melaksanakan budi bicara pendakwaan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. Tindakan itu berkaitan pertuduhan membabitkan 1MDB dan International Petroleum Investment Company.

Najib menuntut RM1.9 juta sebagai ganti rugi khas bagi kos mendapatkan khidmat pasukan audit untuk menyemak dokumen dan membantu menyediakan pembelaannya.

Dalam keputusan Mahkamah Rayuan, Ravinthran berkata panel bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa tindakan itu terlalu awal kerana kes-kes jenayah berkenaan belum bermula ketika saman difailkan. Beliau turut berkata tort proses berniat jahat tidak diiktiraf di bawah undang-undang Malaysia.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan tidak bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Thomas menikmati imuniti dan tindakannya tidak boleh dibicarakan oleh mahkamah. Ravinthran kemudian dinaikkan ke Mahkamah Persekutuan.