NADMA selaras projek pengurusan bencana ASEAN-China bernilai RM19.7 juta

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilantik sebagai penyelaras projek kerjasama pengurusan bencana ASEAN-China bernilai kira-kira RM19.7 juta, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14 di sini hari ini.
Beliau berkata, projek yang sedang dilaksanakan hingga Oktober 2028 itu meliputi latihan petugas, sokongan teknologi maklumat dan komunikasi serta pembangunan sistem penyelarasan dan arahan operasi kecemasan. Projek berkenaan turut merangkumi aplikasi mudah alih bagi membantu pasukan di lapangan menyelaras operasi ketika bencana.
Ahmad Zahid berkata, dalam mesyuarat itu beliau menekankan kepentingan latihan mencari dan menyelamat serta simulasi bersama di bawah Pelan Kerja ASEAN-China 2026-2030. Katanya, pasukan dari negara berbeza perlu terlatih untuk beroperasi bersama dan memahami peranan masing-masing apabila bantuan digerakkan merentas sempadan.
Beliau berkata, ASEAN turut melancarkan tiga Pelan Kerja Pengurusan Bencana 2026-2030 bersama China, Jepun dan Korea. Dalam sesi bersama Jepun, delegasi Malaysia memberi tumpuan kepada latihan kesiapsiagaan komuniti dan pembangunan kepimpinan tempatan.
Bagi kerjasama dengan Korea, Malaysia menggariskan keutamaan untuk memperkukuh sistem amaran awal dan memperluas penyampaian maklumat bencana secara digital kepada penduduk di kawasan berisiko. Ahmad Zahid turut mencadangkan NADMA dan Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Republik Korea (MOIS) mula mengenal pasti peluang latihan bersama serta pertukaran kepakaran.
Katanya, kerjasama itu boleh diteroka sementara draf Memorandum Persefahaman mengenai pengurusan bencana menjalani semakan perundangan oleh Jabatan Peguam Negara. Malaysia juga sedang meneroka peluang menempatkan pegawai pengurusan bencana negara di Republik Korea untuk menjalani latihan di bawah Program PRESTIJ Pengurusan Bencana.
Beliau berkata, latihan itu akan memberi peluang kepada pegawai Malaysia mempelajari penggunaan sistem amaran awal dan teknologi kecemasan di lapangan, sebelum membawa pulang amalan yang sesuai untuk diterapkan dalam operasi negara.
Dalam pada itu, melalui Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, Malaysia membangunkan strategi di peringkat negeri supaya persediaan bencana mengambil kira risiko setempat dan keperluan golongan rentan. Di peringkat serantau, Malaysia menyeru pengukuhan AHA Centre melalui sokongan institusi dan pembiayaan mampan.
Ahmad Zahid berkata, kerjasama di bawah One ASEAN, One Response perlu turut merangkumi pencegahan, kesiapsiagaan dan tindakan awal agar negara anggota dapat menyelaras bantuan sebaik amaran dikeluarkan. Malaysia juga komited bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dan Rakan Dialog bagi memastikan Program Kerja AADMER 2026-2030 dilaksanakan untuk melindungi nyawa, mata pencarian serta hasil pembangunan yang dicapai.