MySP AI kesan perubahan emosi pelajar melalui pengecaman wajah

Sumber: Astro Awani
MySP AI kesan perubahan emosi pelajar melalui pengecaman wajah
Gambar: Astro Awani

KUALA KANGSAR: Sistem MySP AI menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membantu sekolah mengenal pasti perubahan tingkah laku dan emosi pelajar, sebagai langkah awal memantau kesejahteraan mental mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MySP AI, Hafez Shuriddin, berkata rekod aktiviti dan kehadiran yang dikumpulkan sistem itu boleh membantu ibu bapa serta guru menilai perkembangan pelajar dari semasa ke semasa.

Menurutnya, teknologi pengecaman wajah bukan sahaja merekodkan kehadiran, malah dapat mengesan perubahan ekspresi seperti wajah yang kelihatan muram atau sedih sebagai petunjuk awal bahawa seseorang pelajar mungkin memerlukan perhatian.

“Pengesanan awal membolehkan ibu bapa dan guru mengambil tindakan susulan dengan lebih pantas, sekali gus membantu mengurangkan risiko berlakunya kejadian tidak diingini yang melibatkan pelajar,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Pengaktifan MYSP TNGD Jaringan Keselamatan Anak Anda di Sekolah Kebangsaan (SK) Sheikh Idris Al-Marbawi, di sini, semalam.

Terdahulu, Hafez yang mewakili MySP AI bersama Ketua Perhubungan Kerajaan Touch 'n Go Digital (TNGD), Tengku Sofiah Aishah Tengku Mahmood, menyempurnakan pertukaran dokumen persefahaman bagi kerjasama mengintegrasikan kemudahan pembayaran digital Touch 'n Go eWallet ke dalam sistem MySP AI.

Hafez berkata imej wajah pelajar dirakam menggunakan kamera telefon pintar sebelum diproses menerusi teknologi pengecaman wajah untuk mengesahkan identiti dan merekodkan kehadiran mereka di sekolah. Proses itu lazimnya dilakukan di pintu masuk utama sekolah.

Pengecaman wajah mengambil masa antara satu hingga 1.5 saat, dengan jarak pengesanan sehingga empat meter. Data kehadiran yang direkodkan kemudian dianalisis bagi menghasilkan laporan berkaitan profil kehadiran, disiplin, sahsiah dan penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti.

“Semua maklumat termasuk rekod kehadiran, disiplin dan amalan baik pelajar boleh disemak secara langsung oleh ibu bapa serta guru menerusi Sistem Pengurusan Pendidikan Bersepadu (MOEIS),” katanya.

Sistem itu, yang diperkenalkan dua tahun lepas, kini digunakan di 194 sekolah dan memanfaatkan kira-kira 55,000 pelajar di seluruh negara, kata Hafez.

Beliau berkata kerjasama dengan TNGD bertujuan memperluas pembayaran tanpa tunai, termasuk membolehkan pelajar membuat pembelian di kantin menggunakan pengecaman wajah yang dipautkan terus kepada akaun e-dompet ibu bapa.

Kemudahan itu juga membolehkan pelajar berurus niaga tanpa membawa wang tunai atau telefon pintar ke sekolah, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan wang saku. Ibu bapa pula boleh memantau rekod perbelanjaan harian serta keselamatan anak-anak di sekolah secara langsung.

“Menerusi kerjasama sulung ini juga, ibu bapa dapat memantau rekod perbelanjaan harian serta keselamatan anak-anak di sekolah secara langsung dengan lebih mudah dan telus,” katanya.