Faezah Elai bangga anak tirinya kini bergelar peguam
PELAKON Faezah Elai berkongsi rasa bangga menerusi hantaran di Instagram selepas anak perempuannya secara rasmi bergelar peguam. Anak tirinya itu selesai menjalani proses dipanggil ke Badan Peguam atau *called to the Bar*.
Faezah berkata dia jarang berkongsi mengenai kehidupan anak-anak kerana mahu menjaga privasi mereka. Namun, kejayaan anaknya membuatkan pelakon itu teruja untuk berkongsi berita berkenaan dengan pengikutnya.
Menurut Faezah, dia menjadi sebahagian daripada perjalanan membesarkan anak tirinya itu sejak berusia 11 tahun, bermula dari Convent Kajang hingga ke Universiti Malaya (UM).
“Hari ini, dia secara rasmi dipanggil ke Badan Peguam dan kini bergelar peguam. Saya sangat bangga melihat dia membesar menjadi wanita seperti hari ini,” tulisnya.
Faezah turut mengenang perjalanan panjang yang dilalui anak tirinya sehingga berjaya mencapai cita-cita dalam bidang perundangan. Dalam hantaran sama, dia menyelitkan gurauan bahawa tujuan utama perkongsian itu adalah untuk mengumumkan anaknya kini seorang peguam.
“The whole point of this post sebenarnya nak habaq my daughter is a LAWYER now! So buat pasai ja, see you in court!!
“Orang first dalam list saman, pak dia!! Katuk ku dengan lesung,” selorohnya.
Faezah mendirikan rumah tangga bersama pengarah, Heykal Hanifah pada 9 September 2011. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Dealova Heyrinna dan Auroroa Heyrinna.
Heykal turut mempunyai tiga orang anak daripada perkahwinan terdahulu, iaitu Luqman Hakim, Sarah Heyrissa dan Luq Adam Heydhani.