Faezah Elai bangga anak tirinya kini bergelar peguam

Sumber: Sinar Harian

PELAKON Faezah Elai berkongsi rasa bangga selepas anak perempuan yang dibesarkannya sejak berusia 11 tahun secara rasmi bergelar peguam. Berita itu dikongsikan menerusi Instagram selepas anaknya selesai menjalani proses dipanggil ke Badan Peguam.

Faezah berkata, dia biasanya tidak berkongsi hal berkaitan anak-anak kerana mahu menjaga privasi kehidupan mereka. Namun, kejayaan anaknya dalam bidang perundangan membuatkan dia teruja untuk berkongsi perkembangan itu dengan pengikutnya.

Katanya, dia menyaksikan perjalanan anak tersebut sejak berusia 11 tahun, bermula dari Convent Kajang hingga ke Universiti Malaya (UM). Faezah turut meluahkan rasa bangga melihat anaknya membesar menjadi seorang wanita.

“Jarang saya berkongsi mengenai anak-anak kerana lebih suka menjaga privasi kehidupan mereka, tetapi hari ini saya membuat pengecualian.

“Saya sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan membesarkannya sejak berusia 11 tahun, dari Convent Kajang sehingga ke Universiti Malaya (UM).

“Hari ini, dia secara rasmi dipanggil ke Badan Peguam dan kini bergelar peguam.

“Saya sangat bangga melihat dia membesar menjadi wanita seperti hari ini,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Faezah turut menyelitkan gurauan selepas mengumumkan anaknya kini seorang peguam. Beliau berseloroh bahawa tujuan utama perkongsian itu adalah untuk memberitahu pengikut mengenai kejayaan tersebut, selain menyebut kemungkinan bertemu di mahkamah.

“The whole point of this post sebenarnya nak habaq my daughter is a LAWYER now! So buat pasai ja, see you in court!!

“Orang first dalam list saman, pak dia!! Katuk ku dengan lesung,” tulisnya secara berseloroh.

Faezah mendirikan rumah tangga dengan pengarah Heykal Hanifah pada 9 September 2011. Pasangan itu dikurniakan dua anak, Dealova Heyrinna dan Auroroa Heyrinna.

Heykal turut mempunyai tiga anak daripada perkahwinan terdahulu, iaitu Luqman Hakim, Sarah Heyrissa dan Luq Adam Heydhani.