Musk umum setiap kanak-kanak AS akan menerima dua saham SpaceX

Sumber: Harian Metro
Musk umum setiap kanak-kanak AS akan menerima dua saham SpaceX
Gambar: Harian Metro

WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk, berkata setiap kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) akan menerima dua saham syarikat penerokaan angkasa lepas itu, masing-masing satu daripada SpaceX dan satu lagi sumbangan peribadinya.

Dalam hantaran di platform X pada Rabu, Musk berkata pemberian itu sebahagian usaha memastikan setiap kanak-kanak di negara berkenaan memiliki saham SpaceX. Beliau turut berjanji menyamai jumlah saham yang disumbangkan syarikat itu melalui sumbangan peribadi.

SpaceX sebelum ini mengumumkan akan menyumbangkan satu saham baharu Kelas A bagi setiap akaun Trump Account yang masih aktif. Bagaimanapun, syarikat itu belum memberikan maklum balas mengenai sama ada saham sumbangan Musk akan disalurkan melalui akaun berkenaan atau tertakluk kepada tempoh sekatan penjualan saham.

Pada Oktober lalu, Presiden SpaceX, Gwynne Shotwell, dan suaminya turut berikrar menyumbangkan masing-masing satu saham milik mereka kepada lebih dua juta kanak-kanak menerusi inisiatif Trump itu.

Bulan lalu, Musk mengumumkan hasrat memberikan satu saham SpaceX kepada setiap kanak-kanak di AS. “Tahun depan, saya akan memberikan satu saham SpaceX kepada setiap kanak-kanak di Amerika. Ini yang pertama daripada banyak lagi inisiatif,” katanya menerusi hantaran di X.

Beliau berkata pemberian saham yang mewakili pegangan dalam ekonomi masa depan secara langsung kepada rakyat ialah langkah yang wajar.