Pendakwaan dakwa Muhyiddin sengaja pejam mata terhadap RM25.3 juta

Sumber: Harian Metro
Pendakwaan dakwa Muhyiddin sengaja pejam mata terhadap RM25.3 juta
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengetahui kemasukan wang RM25.3 juta ke akaun BERSATU daripada tiga syarikat kontraktor dan seorang pengarah, namun didakwa sengaja tidak mengambil tahu mengenai sumber wang itu. Dakwaan itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, ketika hujahan lisan kes salah guna kedudukan membabitkan Muhyiddin di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Wan Shaharuddin berkata, Presiden BERSATU itu mengetahui kemasukan wang dalam jumlah besar ke akaun CIMB dan AmBank milik parti berkenaan. Beliau berkata, transaksi yang kerap serta penggunaan nombor siri cek berturutan sepatutnya menimbulkan kecurigaan.

Menurutnya, Muhyiddin mempunyai akses kepada akaun parti sebagai pemegang amanah dan sepatutnya menyemak sumber wang berkenaan bagi memastikan ia tidak berkaitan rasuah atau salah guna kuasa.

“Dalam kes ini, tertuduh ‘willfully shut his eyes on what obvious’ (pejamkan mata pada perkara yang jelas).

“Tertuduh bukan boneka atau ahli biasa dalam BERSATU, tetapi pemegang amanah, mempunyai akses terus dan autoriti terhadap akaun parti politik yang dipimpin beliau,” katanya.

Wan Shaharuddin berhujah, sekiranya Muhyiddin berusaha menyemak sumber wang RM25.3 juta itu, beliau akan mengetahui transaksi berkenaan melibatkan individu atau syarikat yang sama, yang memohon sokongan bagi projek Jana Wibawa melalui surat yang dihantar terus kepadanya.

Beliau turut mendakwa Muhyiddin mewujudkan konflik kepentingan antara jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden BERSATU apabila meminta kontraktor menyalurkan sumbangan terus kepada akaun bank parti itu.

Katanya, perkara berkenaan berlaku ketika pertemuan Muhyiddin dengan saksi pendakwaan ke-27, Pengarah KCJ Engineering Sdn Bhd, Datuk Seri Azman Yusoff, di Tropicana Golf Club. Azman bertanyakan mengenai projek untuk kontraktor Bumiputera di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum Muhyiddin memaklumkan kerajaan meluluskan program Jana Wibawa.

Wan Shaharuddin berkata, Muhyiddin kemudian meminta Azman mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu daripada Pejabat Perdana Menteri dengan menemui Timbalan Ketua Setiausaha Sulit, Asmar Asmadi Abdullah Sani.

“Tertuduh kemudian secara spontan menyatakan sekiranya terdapat ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia atau kontraktor yang ingin membuat sumbangan, mereka boleh menyumbang terus kepada BERSATU,” katanya.

Menurut pendakwaan, tindakan itu menunjukkan Muhyiddin membuka laluan kepada KCJ Engineering, Nepturis Sdn Bhd dan Sutracom untuk menyertai proses penilaian Jawatankuasa Penilaian Jana Wibawa di Kementerian Kewangan.

Wan Shaharuddin berkata, tindakan itu perlu dinilai bersama keterangan Azman serta dua saksi lain, iaitu Pengarah Urusan Mamfor Sdn Bhd, Shahradzi Shamsuddin, yang juga saksi pendakwaan ke-20, dan Pengarah Metrasys Sdn Bhd serta pengasas Nepturis Sdn Bhd, Lian Tan Chuan, saksi pendakwaan ke-21.

Katanya, ketiga-tiga individu itu mempunyai kaitan dengan kemasukan RM25.3 juta ke akaun BERSATU selepas pertemuan di Tropicana Golf Club. Beliau berkata fakta berkenaan menjadi asas untuk mengaktifkan anggapan undang-undang di bawah Seksyen 23(2) Akta SPRM bagi membuktikan elemen pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) akta sama.

Muhyiddin, 79, berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi BERSATU daripada Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman, berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Muhyiddin diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Chetan Jethwani. Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan 1 Disember ini untuk hujahan balas pihak pembelaan.