Pendakwaan dakwa Muhyiddin sengaja pejam mata terhadap sumber RM25.3 juta
KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin sengaja memejamkan mata terhadap sumber wang RM25.3 juta yang dimasukkan ke akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Dakwaan itu dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, ketika hujahan hari pertama kes berlangsung.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata Muhyiddin sepatutnya menyemak sumber wang berkenaan, terutama kerana transaksi itu membabitkan individu dan syarikat yang pernah memohon sokongannya untuk mendapatkan projek Jana Wibawa.
Menurutnya, kegagalan Ahli Parlimen Pagoh itu mengambil tahu mengenai transaksi tersebut menunjukkan beliau mengetahui wang berkenaan berada dalam akaun parti. Oleh itu, kata beliau, wang itu tidak boleh dianggap sebagai sumbangan politik semata-mata.
“Tertuduh sengaja menutup mata terhadap perkara yang jelas dan dia bukan boneka atau ahli biasa dalam Bersatu, sebaliknya pemegang amanah dan mempunyai akses terus atau autoriti terhadap akaun parti politik yang dipimpinnya,” katanya.
Wan Shaharuddin berkata, jika Muhyiddin menyelidik sumber wang itu, beliau akan mengetahui transaksi berkenaan membabitkan individu atau syarikat yang memohon sokongan menerusi surat yang dihantar terus kepadanya berhubung projek tersebut.
Beliau turut menolak dakwaan wang berkenaan ialah sumbangan politik dengan merujuk keterangan tiga saksi pendakwaan. Mereka ialah Pengarah KCJ Engineering Sdn Bhd, Datuk Seri Azman Yusoff; Pengarah Urusan Mamfor Sdn Bhd, Shahradzi Shamsuddin, 44; dan ahli perniagaan Lian Tian Chuan, yang juga dikenali sebagai TC Lia.
Menurut Wan Shaharuddin, ketiga-tiga saksi menjelaskan wang itu diberikan selepas KCJ Engineering, Nepturis Sdn Bhd dan Sutracom Sdn Bhd memperoleh projek Jana Wibawa. Beliau berkata perkara itu juga perlu dinilai bersama tindakan Muhyiddin meminta Azman supaya kontraktor yang mahu membuat sumbangan menyalurkan wang terus kepada Bersatu.
Katanya, pihak pendakwaan telah mematahkan hujahan pembelaan bahawa wang tersebut sekadar sumbangan politik. Kegagalan Muhyiddin memastikan sumber wang yang dimasukkan ke akaun parti adalah sah, tambahnya, menimbulkan persoalan, lebih-lebih lagi selepas Bersatu membuat perbelanjaan besar apabila sebahagian wang itu diterima.
Beliau berkata, sukar untuk mempercayai Muhyiddin tidak menyedari transaksi berkenaan memandangkan kedudukannya dalam parti dan akses langsung kepada akaun. Selain itu, katanya, tiada cadangan dikemukakan ketika pemeriksaan balas terhadap dua saksi bank bahawa Muhyiddin atau Bendahari Bersatu pernah membuat laporan kepada CIMB dan AmBank mengenai kemasukan wang itu.
Wan Shaharuddin berkata, keseluruhan keterangan perlu dinilai secara kumulatif bagi menunjukkan kaitan antara tindakan Muhyiddin membantu syarikat berkenaan memasuki proses penilaian projek Jana Wibawa dengan kepentingan kewangan Bersatu.
Pendakwaan mendakwa Muhyiddin membuka jalan kepada KCJ, Nepturis dan SUTRACOM untuk memasuki proses penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian Jana Wibawa di Kementerian Kewangan yang diketuai SP25. Saksi itu ialah Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di kementerian berkenaan, Datin Rosni Mohd Yusoff, 54, yang ketika kejadian merupakan Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan.
“Semua hujahan kami menjuruskan kepada kesimpulan bahawa tertuduh memang mengetahui sumber wang RM25.3 juta itu bukan daripada sumber yang sah,” kata Wan Shaharuddin, yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat.
Muhyiddin, 79, berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi Bersatu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis, Mamfor dan KCJ Engineering, serta Azman Yusoff. Kes itu berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Muhyiddin diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Amer Hamzah Arshad. Hujahan pihak pembelaan dijadualkan bersambung pada 1 Disember depan.