MSN nilai semula peraturan keluar masuk atlet

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mungkin mendapatkan pandangan atlet yang menetap di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, sebelum menilai semula peraturan keluar masuk dan waktu perintah berkurung yang sedang berkuat kuasa. Ketua Pengarah MSN, Ariffin Ghani, berkata perkara itu berkemungkinan dibincangkan dalam sesi town hall bersama Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Beliau berkata, sesi berkenaan boleh memberi ruang kepada pihak pengurusan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada atlet sebelum sebarang penilaian lanjut dibuat. Ariffin berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Bukit Jalil, hari ini.
“Kita perlu melihat peraturan ini secara keseluruhan dan mungkin perlu mendapatkan pandangan atlet yang tinggal di sini. Menteri akan mengadakan sesi town hall bersama atlet tidak lama lagi dan perkara ini mungkin boleh dibincangkan dalam sesi berkenaan,” katanya.
Isu peraturan itu dibangkitkan susulan kemalangan membabitkan atlet angkat berat negara, Hafizuddin Roslin, pada 16 November lalu ketika dalam perjalanan pulang ke MSN. Kemalangan kira-kira jam 11.30 malam di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) itu menyebabkan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow berkenaan kehilangan tangan kanan selepas anggota itu terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya.
Ariffin berkata, peraturan sedia ada, termasuk perintah berkurung tengah malam, kekal sepanjang proses penilaian dijalankan. Beliau mengingatkan atlet supaya mematuhi ketetapan itu dan memaklumkan kepada pegawai penghubung masing-masing jika perlu keluar pada waktu malam atas urusan kecemasan.
Katanya, kawalan keselamatan di kompleks itu turut melibatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang ditempatkan di pintu masuk serta warden yang bertugas di asrama atlet.
Pada masa sama, Ariffin berpandangan peraturan perlu mengambil kira keperluan atlet, yang tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan penghuni asrama sekolah. MSN juga diminta meneliti semula ketetapan berkenaan, termasuk kemungkinan mengawalkan waktu perintah berkurung daripada tengah malam.
“Kita mempunyai peraturan, tetapi kita tidak boleh menguruskan asrama ini seperti asrama sekolah. Mereka adalah atlet kebangsaan dan kita juga perlu fleksibel, walaupun terdapat peraturan berkaitan keluar masuk asrama serta kawasan MSN,” katanya.