MPOB siasat dakwaan campur minyak sawit Indonesia dengan produk Malaysia di Pelabuhan Klang

Sumber: Sinar Harian

Kuala Lumpur: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang menyiasat aduan berhubung dakwaan pencampuran minyak masak diimport dengan bekalan tempatan serta pelabelan semula produk untuk dieksport sebagai produk Malaysia, termasuk dakwaan pelabelan negara asal yang tidak tepat. Penjelasan itu dikeluarkan MPOB selepas menerima aduan rasmi berkaitan perkara berkenaan dan mereka sedang meneliti kesahihan dakwaan serta sebarang pelanggaran undang-undang atau syarat pelesenan di bawah bidang kuasanya.

Siasatan MPOB meliputi penelitian rekod dan dokumen berkaitan seperti data import, proses, penyimpanan, dan eksport minyak sawit oleh pihak terlibat. Semakan silang juga sedang dijalankan terhadap rekod aktiviti pencampuran dan dokumen penghantaran bagi mengenal pasti sebarang percanggahan maklumat, demikian menurut kenyataan hari Khamis itu.

Dalam kenyataan tersebut, MPOB menjelaskan pencampuran minyak sawit dan produk berasaskan sawit adalah sebahagian daripada aktiviti pemprosesan industri berkenaan, tertakluk kepada pematuhan syarat pelesenan, piawaian kualiti serta peruntukan undang-undang berkaitan. Namun, tindakan terhadap maklumat palsu atau mengelirukan mengenai negara asal produk adalah perkara serius yang perlu ditangani.

Penentuan negara asal bagi produk eksport mestilah mematuhi Peraturan Tempat Asal yang terpakai, termasuk kriteria khusus produk di bawah perjanjian perdagangan berkaitan. MPOB menambah Sijil Asal Keutamaan (PCO) dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi membolehkan pengeksport menikmati pengurangan atau pengecualian tarif di bawah perjanjian perdagangan bebas (FTA), tertakluk pematuhan syarat. NPCO pula biasanya dikeluarkan oleh dewan perniagaan atau persatuan perdagangan yang dilantik MITI, namun untuk eksport ke Amerika Syarikat, NPCO telah diambil alih sepenuhnya oleh MITI mulai 6 Mei, 2025.

Kata MPOB, penentuan asal mesti dibuat berdasarkan kriteria asal yang ditetapkan bagi produk dan destinasi eksport berkenaan. Jika siasatan membuktikan pelanggaran undang-undang atau syarat pelesenan, tindakan sewajarnya akan diambil di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) serta peraturan berkaitan. Laporan berhubung aduan itu juga turut merujuk kepada laporan portal berita tempatan mengenai aduan seorang ahli perniagaan pada 19 Oktober berkaitan dakwaan olein sawit Indonesia yang ditapis, diluntur, dan dinyahbau dicampurkan dengan olein sawit mentah Malaysia di atas kapal tangki MT Eunice di Pelabuhan Klang pada 30 September.