MPOB selidik dakwaan minyak sawit dicampur dan dilabel semula di Pelabuhan Klang

Sumber: Harian Metro
MPOB selidik dakwaan minyak sawit dicampur dan dilabel semula di Pelabuhan Klang
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang menyiasat aduan yang mendakwa berlakunya pencampuran minyak masak diimport dengan bekalan tempatan serta pelabelan semula produk untuk dieksport sebagai produk Malaysia. MPOB mengesahkan menerima aduan rasmi berhubung perkara berkenaan dan sedang menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan serta meneliti sama ada terdapat pelanggaran undang-undang, peraturan, atau syarat pelesenan di bawah bidang kuasanya.

Dalam kenyataannya, MPOB berkata siasatan merangkumi penelitan rekod dan dokumen berkaitan, termasuk data mengenai import, pemprosesan, penyimpanan, dan eksport minyak sawit oleh pihak terlibat. Semakan silang terhadap rekod aktiviti pencampuran dan dokumen penghantaran juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti sebarang percanggahan maklumat.

MPOB menegaskan pencampuran minyak sawit dan produk berasaskan sawit adalah sebahagian daripada aktiviti pemprosesan industri yang tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat pelesenan, piawaian kualiti, serta peruntukan undang-undang berkaitan. Namun, katanya, tindakan terhadap maklumat palsu atau mengelirukan mengenai negara asal produk adalah perkara serius yang perlu ditangani.

Penentuan negara asal bagi produk eksport mestilah mematuhi Peraturan Tempat Asal yang terpakai, termasuk kriteria khusus produk di bawah perjanjian perdagangan berkaitan. MPOB menjelaskan Sijil Asal Keutamaan (PCO) dikeluarkan oleh MITI untuk membolehkan pengeksport menikmati pengurangan atau pengecualian tarif di bawah perjanjian perdagangan bebas (FTA), tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan, manakala Sijil Asal Bukan Keutamaan (NPCO) biasanya dikeluarkan oleh dewan perniagaan atau persatuan perdagangan dilantik MITI. Bagaimanapun, bagi eksport ke Amerika Syarikat, pengeluaran NPCO telah diambil alih sepenuhnya oleh MITI berkuat kuasa mulai 6 Mei, 2025, menurut MPOB.

Menurut MPOB, penentuan asal mesti dibuat berdasarkan kriteria asal yang ditetapkan bagi produk dan destinasi eksport berkenaan. Sebuah portal berita tempatan turut melaporkan seorang ahli perniagaan telah membuat aduan pada 19 Oktober berhubung dakwaan olein sawit Indonesia yang ditapis, diluntur, dan dinyahbau (RBD) dicampurkan dengan olein sawit mentah Malaysia di atas kapal tangki MT Eunice di Pelabuhan Klang pada 30 September. MPOB berkata siasatan akan menilai dakwaan berkenaan selaras dengan peruntukan Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) dan peraturan berkaitan jika terbukti pelanggaran.