MITI kaji semula insentif CKD susulan defisit komponen RM33.8 bilion

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menilai semula pendekatan pemberian insentif pemasangan tempatan (CKD) susulan defisit perdagangan komponen automotif negara meningkat kepada RM33.8 bilion pada 2025, berbanding kira-kira RM13 bilion pada 2020.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan insentif yang dilaksanakan sejak 30 hingga 40 tahun lalu perlu diperbaiki kerana belum memberi impak seperti diharapkan, khususnya dalam membangunkan pengeluar komponen tempatan.
Beliau berkata, pemantauan pelaksanaan CKD sebelum ini tidak dilakukan secara berkesan. Keadaan itu menyebabkan sesetengah pengeluar memilih untuk mengimport komponen, berbanding membangunkan pengeluaran sendiri di Malaysia.
Struktur CKD terdahulu mempunyai tiga peringkat, iaitu Tahap 1, Tahap 2 dan Tahap 3. Namun, pengeluar boleh memperoleh pengiktirafan kandungan tempatan melalui gabungan komponen yang masih bergantung kepada import, katanya.
Justeru, kerajaan mahu merangka insentif yang memberi ganjaran lebih besar kepada syarikat yang benar-benar menghasilkan komponen di Malaysia, bukan sekadar memenuhi pengisytiharan kandungan tempatan.
“Kalau yang Tahap 3 tidak, Tahap 2 tidak, tetapi Tahap 1 benar-benar melakukannya, kita akan beri ganjaran kepada Tahap 1. Mereka mungkin mendapat lebih banyak insentif kerana usaha itu benar-benar berkesan,” katanya.
Johari berkata demikian pada sidang media sempena majlis pemulaan operasi CKD BYD di Malaysia, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma dan Pengarah Urusan Sime Motors Southeast Asia, Jeffrey Gan.
Beliau berkata, pendekatan baharu itu juga bertujuan menarik lebih banyak pengeluar automotif antarabangsa membawa teknologi dan bekerjasama dengan syarikat tempatan dalam penghasilan komponen, sekali gus meningkatkan penyertaan industri domestik.
Katanya, kerajaan tidak seharusnya terlalu menumpukan sasaran peratusan kandungan tempatan yang tinggi jika angka itu tidak menggambarkan pengeluaran sebenar di negara ini. Kandungan tempatan sebenar sebanyak 10 peratus, katanya, lebih bermakna berbanding pengisytiharan 60 hingga 70 peratus yang tidak mencerminkan tahap pengeluaran.
Beliau berkata, pembangunan keupayaan industri boleh dilaksanakan secara berperingkat. Kerjasama antara pengeluar antarabangsa dengan syarikat tempatan pula berpotensi membantu pengeluar komponen domestik berkembang menjadi pengeksport serantau, khususnya ke pasaran ASEAN.
Johari memberi contoh BYD yang memiliki teknologi serta keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan berpotensi bekerjasama dengan pemain tempatan bagi membangunkan keupayaan industri komponen.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan kenderaan BYD yang dipasang secara tempatan tidak tertakluk kepada had jualan 10,000 unit. Tiada had jualan dikenakan kepada kenderaan CKD, sebaliknya jumlah jualan bergantung kepada permintaan pembeli, katanya.
Beliau turut berkata, insentif bagi kenderaan elektrik (EV) yang dipasang secara tempatan akan tamat tahun depan. Selepas itu, kenderaan berkenaan tertakluk kepada pendekatan insentif biasa seperti kenderaan lain.
Mengulas industri automotif tempatan, Johari berkata Proton Holdings Bhd (PROTON) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menghasilkan gabungan kira-kira 450,000 kenderaan dan membangunkan rantaian bekalan yang membabitkan 703 syarikat pengeluar komponen.
Industri itu turut membangunkan kandungan tempatan sehingga 60 hingga 70 peratus serta menyediakan kira-kira 700,000 peluang pekerjaan. Oleh itu, ekosistem sedia ada perlu terus diperkukuh menerusi kerjasama dengan pengeluar antarabangsa, katanya.
Mengenai dasar insentif automotif baharu, Johari berkata keputusan mengenainya sudah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri, namun beliau tidak memberikan tarikh khusus pelancarannya. Katanya, kerajaan perlu membuat keputusan berdasarkan kepentingan pembangunan ekonomi jangka panjang, walaupun pelaksanaan dasar mungkin menimbulkan sedikit kesukaran dalam tempoh pendek.