Motosikal Shafik masih di rumah sewa lama, rakan gagal menghubunginya

Sumber: Harian Metro
Motosikal Shafik masih di rumah sewa lama, rakan gagal menghubunginya
Gambar: Harian Metro

BANGI: Motosikal milik penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Shafik Hidayat Mat Daud, 22, masih berada di rumah sewa lamanya selepas dia gagal dijejaki sejak lima minggu lalu.

Bekas rakan serumahnya, Muhammad Zarif Haziq Norazly, 22, berkata dia sudah cuba menghubungi Shafik sejak Mac lalu supaya pemuda itu mengambil motosikal berkenaan, namun tidak menerima sebarang balasan.

“Sejak Ramadan lalu sampai sekarang, motosikal Shafik masih ada di rumah sewa saya,” katanya.

Muhammad Zarif berkata Shafik tidak memberitahu apa-apa sebelum berpindah dan mereka juga tidak pernah bergaduh. Dia menghantar mesej serta membuat panggilan meminta Shafik datang mengambil motosikal itu, tetapi tiada maklum balas walaupun Shafik aktif di media sosial.

Katanya, sejak Shafik berpindah ke rumah sewa baharu, dia tidak pernah terserempak dengan pemuda itu di kampus.

Sementara itu, jiran Shafik di Yan, Kedah, Siti Khadijah Hanapiah berkata dia dimaklumkan pada hujung September lalu bahawa Shafik menumpang di rumah seorang rakan selepas tiba di stesen bas untuk pulang ke universiti.

Menurutnya, rakan Shafik memberitahu pemuda itu kemudian dikatakan pergi ke rumah sewa di Hijauan Heights. Rakan berkenaan menawarkan untuk menghantarnya ke rumah sewa, namun Shafik menolak kerana berkata ada orang akan datang mengambilnya.

Siti Khadijah berkata dia difahamkan Shafik tidak menghadiri kelas sejak semester baharu bermula pada 28 September lalu. Setakat ini, dia dan kakak Shafik, Nur Fatihah, 33, belum menerima sebarang perkembangan mengenai perkara itu.