Kementerian sasar hasil padi 10 tan sehektar menjelang 2030

TASEK GELUGOR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyasarkan peningkatan purata hasil padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) kepada 10 tan sehektar menjelang 2030. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata sasaran antara tujuh hingga 10 tan sehektar itu akan dicapai melalui penggunaan teknologi moden, pembajaan lebih baik dan amalan pertanian yang dipertingkat.
Beliau berkata beberapa petak yang mencatat prestasi tinggi sudah memperoleh hasil antara lapan hingga sembilan tan sehektar, manakala sebilangan kecil mencapai 12 tan. Katanya, usaha meningkatkan hasil di kawasan sedia ada perlu diutamakan berbanding membuka kawasan sawah baharu, yang memerlukan masa untuk membangunkan sistem pengairan dan infrastruktur.
“Before opening new padi fields, which requires time-consuming irrigation and infrastructure development, we must prioritise maximising yields in existing areas,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohamad berkata demikian selepas menyampaikan projek Kampung Angkat Madani dan dron pertanian di bawah inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Pokok Sena. Mada merekodkan peningkatan hasil padi sebanyak dua peratus tahun ini. Setiap tambahan satu tan hasil bagi sehektar, katanya, boleh menjana kira-kira RM500 pendapatan tambahan kepada petani.
Mengenai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut dan fenomena El Niño, beliau berkata kementerian sedang menguruskan simpanan air bagi memastikan bekalan pengairan mencukupi ketika tempoh kering berpanjangan. Usaha meningkatkan simpanan air di Empangan Pedu, Kedah, sedang dilaksanakan dengan memanfaatkan hujan semasa dan mengehadkan pelepasan air. Langkah itu bertujuan memastikan bekalan mencukupi sekurang-kurangnya hingga April tahun depan.
Projek penggantian injap di empangan berkenaan, yang bernilai RM245 juta, masih mengikut jadual untuk disiapkan November depan. Mohamad berkata projek itu akan meningkatkan keselamatan struktur serta kecekapan operasi empangan. Jika paras air turun ke tahap kritikal, kementerian akan mempertimbangkan pembenihan awan berdasarkan nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia bagi melindungi bekalan air pertanian hingga April.
Dalam ucapannya, Mohamad berkata kerajaan memperuntukkan RM500,000 bagi lapan projek komuniti dan infrastruktur di Kampung Guar Petai menerusi program Kampung Angkat Madani 2026. Projek yang disiapkan antara Jun hingga November itu bertujuan membawa inisiatif pembangunan terus kepada masyarakat. Antaranya ialah menaik taraf jalan, memasang lampu solar dan membaiki rumah.
Kementerian turut menyerahkan sebuah dron pembajaan berlesen menerusi program TVET Pertanian praktikal bagi membantu memodenkan penanaman padi di kawasan itu.