Bapa lima anak meninggal dunia selepas mengimamkan solat Maghrib

Sumber: Harian Metro
Bapa lima anak meninggal dunia selepas mengimamkan solat Maghrib
Gambar: Harian Metro

SUNGAI PETANI: Allahyarham Norhan Abu Bakar, bapa kepada lima anak, meninggal dunia akibat asma kira-kira jam 8.20 malam Jumaat lalu ketika dalam perjalanan ke Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang, selepas rebah sejurus mengimamkan solat Maghrib.

Kisah pemergian Norhan dikongsikan anak keduanya, Najiea Naiela Norhan, 30, di media sosial dan mengundang ucapan takziah daripada warganet. Ada yang menyifatkan pemergiannya sebagai kematian yang dicemburui.

Najiea Naiela berkata, pada hari kejadian bapanya menyertai rombongan ke Pulau Pinang dari Kuala Nerang, Kedah, bersama ibunya, Rohani Abu Bakar, 53, tiga adik serta adik iparnya. Dia dan abang sulung, Najmu Shahir Norhan, 32, tidak turut serta kerana anak mereka bersekolah.

Menurutnya, bapanya sangat teruja untuk ke Padang Kota kerana sudah lama tidak berkunjung ke sana. Norhan sekeluarga bertolak dari rumah pada jam 6.30 pagi dan bapanya tidak tidur kerana tidak sabar untuk menyertai perjalanan itu.

“Waktu di sana, saya dimaklumkan abah sihat malah makan banyak. Saya sempat berhubung dengannya jam 6.48 petang hari kejadian sebelum masuk waktu Maghrib,” katanya kepada Harian Metro.

Najiea Naiela berkata, perbualan mereka tidak lama. Kira-kira jam 7.35 malam, dia menerima panggilan memaklumkan bapanya pengsan. Dia kemudian bergegas ke Pulau Pinang bersama suami dan anaknya.

Beliau berkata, bapanya tidak pernah mengadu sakit atau mengeluh keletihan selepas berjalan. Ibu dan adik bapanya turut memaklumkan Norhan kelihatan cergas serta sempat berseloroh ketika berada di dalam bas persiaran.

Sebelum solat Maghrib, Norhan membentangkan dua sejadah, satu untuk dirinya dan satu lagi untuk adik iparnya. Pada rakaat pertama tiada masalah, namun ketika membaca surah al-Fatihah pada rakaat kedua, suaranya tersekat-sekat.

“Abah berundur keluar dari saf dan adik ipar ganti sebagai imam. Selesai solat, adik ipar nampak abah duduk di kerusi. Wajahnya nampak kebiruan dan selepas itu, abah rebah,” katanya.

Najiea Naiela dimaklumkan seorang pembantu pegawai perubatan di surau cuba memberikan bantuan pernafasan. Namun, Norhan tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia di dalam ambulans yang sedang menuju ke Hospital Sungai Bakap. Beliau berkata keluarganya tidak melihat petanda bapanya akan meninggal dunia, meskipun Norhan mempunyai masalah asma.

Najiea Naiela berkata, pemergian bapanya amat dirasai kerana Norhan sering menjadi tempatnya berkongsi perasaan. Dia juga terkilan tidak dapat meluangkan masa bersama bapanya buat kali terakhir dan hanya sempat bertemu seminggu sebelum kejadian.

“Abah layan semua anak sama rata, tak berkira, sangat mendahulukan anak dan suka melawak. Kami sekeluarga terasa kehilangan kerana banyak memori dicipta bersama,” katanya.

Beliau berkata keluarganya reda dengan pemergian Norhan pada hari Jumaat dan urusan terakhir bapanya dipermudahkan. Di kampung, Norhan memegang jawatan pengerusi surau.

Najiea Naiela mendoakan agar dosa bapanya diampunkan, kuburnya dilapangkan dan Allah SWT mengurniakannya ganjaran syurga tertinggi atas amalan serta kebaikan yang dilakukan.