Melaka catat tahap perlakuan rasuah terendah di Malaysia

Sumber: Harian Metro
Melaka catat tahap perlakuan rasuah terendah di Malaysia
Gambar: Harian Metro

MELAKA: Negeri ini mencatatkan tahap perlakuan rasuah terendah di Malaysia berdasarkan Kajian Tahap Rasuah Perkhidmatan Awam Tahun 2025 yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh, berkata pencapaian itu mencerminkan usaha kerajaan negeri memperkukuh pencegahan rasuah, termasuk menerusi Pelan Antirasuah Negeri Melaka 2022–2026.

Menurutnya, pelan berkenaan menjadi kerangka bagi mengenal pasti risiko rasuah serta menambah baik sistem dan tatacara kerja dalam perkhidmatan awam negeri.

“Dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan, prinsip integriti tidak boleh sesekali dikompromi terutama dalam soal penguatkuasaan, pengurusan kewangan dan perolehan awam.

“Setiap keputusan mesti dibuat dengan adil, setiap ringgit wang rakyat diurus dengan berhemah dan setiap tindakan hendaklah bebas daripada kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Laman Integriti sempena Sambutan Hari Integriti Nasional 2026 di Banda Hilir, di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri, Jezlee Pit.

Ab Rauf berkata, Laman Integriti diwujudkan untuk mendekatkan integriti dengan masyarakat serta menyokong usaha membudayakan nilai itu dalam kalangan warga Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Beliau berharap kerjasama MBMB dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) dapat diperkukuh melalui program latihan, penilaian risiko rasuah dan penambahbaikan sistem kerja.

Pembabitan murid sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam sambutan bertemakan “Integriti Tanpa Kompromi, Teras Keperibadian Mulia” pula, katanya, memberi ruang untuk menyemai nilai kejujuran, amanah dan tanggungjawab sejak usia muda.