Media Prima raih hasil RM186.1 juta pada suku pertama FY2027

Sumber: Harian Metro
Media Prima raih hasil RM186.1 juta pada suku pertama FY2027
Gambar: Harian Metro

MEDIA Prima Bhd mencatatkan hasil RM186.1 juta dan keuntungan selepas cukai RM630,000 bagi suku pertama tahun kewangan 2027 yang berakhir pada 30 September 2026, ketika kumpulan itu berdepan persekitaran pengiklanan mencabar.

Dalam kenyataan, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia itu berkata hasil bukan pengiklanan meningkat 11 peratus, didorong terutama oleh prestasi lebih kukuh dalam perniagaan beli-belah dari rumah dan jualan kandungan.

Segmen beli-belah dari rumah merekodkan peningkatan hasil dua peratus kepada RM24.4 juta, dengan jualan e-dagang berkembang 10 peratus. Jualan kandungan pula meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM7.8 juta berbanding RM2.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Segmen media digital turut mencatatkan pertumbuhan hasil 11 peratus kepada RM25 juta. Peningkatan itu disokong pertumbuhan hasil pengiklanan sebanyak 10 peratus dan perkhidmatan perkongsian antara segmen sebanyak 12 peratus.

Media Prima berkata pencapaian berkenaan selari dengan pelan perniagaan tiga tahun kumpulan bagi FY2027 hingga FY2029, yang memberi tumpuan kepada pengukuhan perniagaan teras dan mempercepat pertumbuhan segmen hasil berpotensi tinggi.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata kumpulan itu terus mengharungi landskap media yang berkembang dengan menumpukan perhatian kepada keutamaan jangka panjang serta tanggungjawab terhadap pemegang taruh.

“Kami komited untuk terus membina organisasi yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan, yang mampu mewujudkan nilai mampan, mengekalkan kepercayaan masyarakat serta terus memberikan sumbangan bermakna kepada komuniti yang kami santuni,” katanya.

Beliau berkata Lembaga Pengarah kekal yakin terhadap hala tuju strategik kumpulan dan keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik industri.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali, berkata kumpulan itu terus memperkukuh portfolio perniagaan di luar pengiklanan tradisional dan mempercepat pertumbuhan aliran hasil berpotensi tinggi, selaras dengan pelan perniagaan tiga tahun.

Menurutnya, prestasi jualan kandungan, e-dagang dan media digital menunjukkan peluang yang terhasil daripada keupayaan bersepadu kumpulan serta peningkatan nilai kandungan merentasi pelbagai platform. Kumpulan itu juga akan memperkemas strategi komersial, memperluas peluang hasil alternatif dan meningkatkan kecemerlangan operasi.

Dalam usaha meningkatkan pembabitan audiens, Media Prima menganjurkan Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), yang menarik lebih 7,000 pengunjung ke Unifi Arena dan merekodkan lima bilion tontonan kumulatif merentasi pelbagai platform.

Kumpulan itu turut menyalurkan lebih RM400,000 menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP sepanjang suku pertama FY2027 bagi membantu individu dan komuniti yang memerlukan.

Media Prima berkata tumpuan seterusnya ialah melaksanakan pelan strategik tiga tahun dengan meningkatkan kecemerlangan operasi, memperkukuh kepimpinan pasaran merentasi platform media serta meneroka peluang hasil alternatif. Kumpulan itu juga akan memanfaatkan keupayaan media bersepadu, memperkukuh kandungan dan penawaran digital serta mencari peluang pertumbuhan baharu bagi menjana nilai jangka panjang yang mampan.