Mangsa banjir meningkat di Selangor, menurun di Perak

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor meningkat setakat pagi ini, manakala Perak mencatatkan penurunan dan angka di Sabah kekal tidak berubah.
Di Selangor, seramai 1,456 mangsa daripada 414 keluarga ditempatkan di PPS, berbanding 958 orang daripada 281 keluarga semalam. InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan Kuala Langat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi.
Seramai 785 mangsa berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, manakala 16 lagi ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Sungai Kelambu.
Di Kuala Selangor, PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Pasangan menempatkan 214 mangsa, SK Dato’ Maharaja Lela menempatkan 166 orang dan Sekolah Agama Batu 8 Ijok menempatkan 69 orang.
Di Sepang, 122 mangsa berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali. Dewan Orang Ramai Dengkil menempatkan 51 orang dan Dewan Orang Ramai Taman Gemilang pula menempatkan 33 orang.
Di Perak, jumlah mangsa yang masih berlindung di tiga PPS di tiga daerah menurun kepada 209 orang daripada 62 keluarga pagi ini, berbanding 211 orang daripada 63 keluarga semalam. Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), jumlah di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai, Manjung, kekal 127 orang daripada 37 keluarga.
PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di Hilir Perak mencatatkan penurunan kepada 72 orang daripada 21 keluarga. Sementara itu, 10 mangsa daripada empat keluarga masih berlindung di PPS SK Batu Hampar di Larut, Matang dan Selama.
Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah, daerah Kerian, berada pada tahap bahaya dengan bacaan 9.25 meter, berbanding paras normal 8.68 meter. Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir pada sebelah petang di semua daerah di Perak.
Di Sabah, jumlah mangsa banjir di daerah Sook kekal 153 orang daripada 42 keluarga, sama seperti semalam. JPBN Sabah memaklumkan penduduk dari tiga kampung yang terjejas berlindung di PPS Dewan Serbaguna SLDB, Kampung Dalit Gana.