Mamat tidak sertai konsert Slam x Exists, disimpan untuk projek lain

Sumber: Harian Metro
Mamat tidak sertai konsert Slam x Exists, disimpan untuk projek lain
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Vokalis asal Exists, Mamat, tidak akan terbabit dalam konsert Slam x Exists: The Greatest Hits yang dijadualkan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, pada 1 Mei depan.

Pemain bass Exists, Musa, berkata kumpulan itu melihat Mamat sebagai “peluru” yang disimpan untuk dimanfaatkan dalam acara atau konsert lain. Menurutnya, Exists dan Slam pernah mengadakan konsert bersama di Kuala Lumpur dan Singapura sebelum ini tanpa penyertaan Mamat.

“Kami sudah pernah mengadakan konsert Slam dan Exists juga sebelum ini di Kuala Lumpur dan Singapura. Jadi, memang pada masa itu Mamat tiada.

“Maka, untuk kali ini pun kita teruskan lagi dengan perancangan yang sama. Cuma kali ini kita tak tahu apakah idea yang akan kita cetuskan,” katanya kepada Harian Metro.

Musa berkata, kumpulan itu tidak mahu menggunakan semua idea persembahan mereka dalam satu acara, sebaliknya mahu menampilkan variasi berbeza dalam projek akan datang agar peminat dapat melihat pembaharuan.

“Mamat kita anggap sebagai satu peluru yang kita simpan. Kita tak buka kesemua kad. Jadi, Mamat ini adalah satu kad yang tersimpan buat kita,” katanya.

Beliau berkata Exists sentiasa berusaha membuka ruang untuk Mamat menyertai pelbagai aktiviti dan persembahan. Perbincangan mengenai perkara itu, katanya, sudah dibuat sejak peringkat awal.

Walaupun Mamat tidak terbabit dalam konsert berkenaan, Musa berkata mereka akan bersama-sama dalam beberapa projek lain dalam masa terdekat, termasuk makan malam tahunan. Dua atau tiga persembahan juga sudah dirancang untuk disertai Mamat sebagai vokalis.

Mengulas lagu popular yang pernah dinyanyikan Mamat, Musa berkata Ezad sudah biasa membawakan lagu daripada album pertama dan kedua Exists, malah rakaman lagu berkenaan juga sudah dibuat.

“Lagu-lagu itu memang kita akan bawakan sebab Ezad memang sudah biasa menyanyikan lagu-lagu daripada album pertama dan album kedua itu,” katanya.

Musa berkata, kumpulan itu tidak mahu terlalu banyak variasi dalam persembahan yang membabitkan banyak kumpulan muzik kerana ia boleh menyebabkan konsep persembahan terjejas.