Penalti Malen hentikan rentetan kemenangan PSG

PARIS: Sepakan penalti Donyell Malen pada minit ke-78 membantu AS Roma mengikat Paris Saint-Germain (PSG) 2-2 dalam aksi Liga Juara-Juara di Parc des Princes, awal pagi tadi, sekali gus menamatkan rekod kemenangan sempurna juara bertahan itu dalam saingan musim ini.
Malen yang dimasukkan pada pertengahan babak kedua menyempurnakan sepakan berkenaan ketika hujan lebat dan cuaca sejuk. Gol itu membolehkan Roma membawa pulang satu mata selepas dua kali ketinggalan dalam perlawanan tersebut.
Keputusan seri itu turut menamatkan rentetan 12 kemenangan berturut-turut PSG dalam semua pertandingan. Skuad kendalian Luis Enrique sebelum ini memenangi semua perlawanan mereka dalam fasa liga Liga Juara-Juara musim ini.
PSG kini ketinggalan dua mata di belakang Real Madrid, yang mendahului carta liga dan menjadi satu-satunya pasukan dengan rekod kemenangan 100 peratus selepas lima perlawanan.
Roma membuka jaringan sebelum lima minit permainan menerusi Mario Hermoso. Matias Soule melakukan hantaran lintang rendah dari garisan tepi padang sebelum pertahanan Sepanyol itu menyudahkan peluang untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan.
PSG menyamakan kedudukan sejurus selepas setengah jam permainan. Pertahanan Ukraine, Illia Zabarnyi, mendapat ruang untuk menanduk masuk sepakan sudut yang diambil Senny Mayulu.
Roma hampir kembali mendahului pada penghujung separuh masa pertama apabila Evan Ndicka melepaskan tandukan yang tersasar sedikit. Pada awal babak kedua pula, Niccolo Pisilli menguji penjaga gol PSG, Matvei Safonov, dengan percubaan berbahaya yang memaksanya melakukan aksi menyelamat.
PSG turut mempunyai peluang menerusi Joao Neves, namun tandukannya tersasar tipis selepas dia tidak dikawal ketika menyambut hantaran lintang Nuno Mendes.
Ousmane Dembele kemudian dimasukkan bagi menggantikan Ferran Torres yang kurang menyerlah. Tidak lama selepas itu, PSG memperoleh sepakan penalti apabila Achraf Hakimi melakukan larian pantas ke dalam kawasan penalti Roma sebelum dijatuhkan Wesley.
Dembele mengambil sepakan itu dan meletakkan PSG di hadapan. Dia sekali lagi menunjukkan ketenangan, selepas pernah menyempurnakan penalti ketika perlawanan akhir menentang Arsenal pada Mei lalu, untuk mencatat gol kelimanya dalam kempen musim ini.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan hingga tamat perlawanan. Roma mendapat sepakan penalti selepas semakan VAR mendapati Vitinha menghalang percubaan Soule menggunakan tangan yang diangkat di dalam kawasan penalti. Malen menyempurnakan sepakan itu untuk menyamakan kedudukan.
Keputusan itu menjadi satu halangan kecil buat PSG dalam usaha menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik daripada 36 pasukan. Kedudukan itu membolehkan pasukan layak secara automatik ke pusingan 16 terakhir tanpa perlu melalui pusingan play-off, seperti yang terpaksa diharungi dalam dua kempen terdahulu.
PSG pastinya mengharapkan kemenangan sebagai suntikan semangat ketika pasukan itu berdepan masalah kecederaan. Desire Doue mungkin tidak dapat beraksi lagi sepanjang musim ini selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kanan minggu lalu.
Khvicha Kvaratskhelia, seorang lagi pemain serangan PSG, turut mengalami kecederaan sama baru-baru ini, manakala Dembele masih bergelut untuk mencapai tahap kecergasan terbaik. Situasi itu memberi kesan kepada usaha PSG memburu kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut.
Dembele memulakan perlawanan di bangku simpanan, bermakna tiada seorang pun daripada lima penjaring terbanyak PSG musim lalu berada dalam kesebelasan utama. Pemain lain sama ada mengalami kecederaan atau sudah meninggalkan kelab, termasuk Bradley Barcola dan Goncalo Ramos.
Keputusan jurulatih Roma, Gian Piero Gasperini, untuk tidak menyenaraikan Malen dalam kesebelasan utama turut menimbulkan tanda tanya. Penyerang Belanda itu mencatat purata lebih satu gol bagi setiap perlawanan musim ini dan menjaringkan empat gol ketika menentang Parma pada hujung minggu lalu.
Roma tiba di Paris dengan prestasi menyerang yang baik selepas menghasilkan 26 gol dalam tujuh perlawanan terakhir. Bagaimanapun, mereka sebelum ini beberapa kali mensia-siakan kelebihan jaringan.
Roma tewas 3-4 kepada Real Madrid di laman sendiri selepas mendahului 3-1 dengan baki lapan minit permainan, sebelum kalah 2-3 kepada Manchester United di Old Trafford walaupun mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Malen kemudian dimasukkan ketika Roma ketinggalan. Sebelum penalti penyamaan itu, Dembele hampir menambah jaringan melalui aksi individu, namun penjaga gol Roma, Mile Svilar, melakukan aksi menyelamatkan yang cemerlang.
Jaringan Malen, gol ke-17 dalam kempen yang cukup produktif buat dirinya, menamatkan hasrat PSG untuk mencatat lima kemenangan berturut-turut dalam Liga Juara-Juara. Satu mata itu juga meningkatkan harapan Roma untuk mara ke pusingan kalah mati.