Malaysia selaras projek pengurusan bencana Asean-China bernilai RM19.7 juta

TANGERANG: Malaysia diberi tanggungjawab oleh China dan negara anggota Asean untuk menyelaras projek kerjasama pengurusan bencana Asean-China bernilai kira-kira RM19.7 juta, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata projek yang diselaraskan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu akan berlangsung hingga 2030. Skopnya merangkumi latihan anggota, sokongan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta pembangunan sistem penyelarasan dan perintah kecemasan.
“Malaysia telah diiktiraf atas keupayaan dan pengalaman dalam melaksanakan pelan kerjasama antara Asean dan China dalam pengurusan bencana. Ini satu keyakinan besar, yang saya percaya perlu dipimpin dan diterajui Malaysia dengan berkesan,” katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Asean-China Keenam mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM Plus China) di sini hari ini.
Zahid berkata kerjasama Asean-China turut menekankan penggunaan teknologi canggih bagi memperkukuh sistem amaran awal dan penyelarasan bantuan bencana merentas sempadan. Sistem penyelarasan dan perintah kecemasan yang dibangunkan menerusi projek itu juga akan merangkumi aplikasi mudah alih untuk membantu pasukan lapangan menyelaras operasi ketika bencana.
Selain teknologi, Malaysia turut menekankan kepentingan latihan mencari dan menyelamat serta simulasi bersama menerusi Pelan Kerja Asean-China mengenai Pengurusan Bencana 2026-2030. Zahid berkata pasukan dari negara berlainan perlu dilatih untuk bekerjasama dan memahami peranan masing-masing sebelum bantuan digerakkan merentasi sempadan.
“Apabila bantuan perlu digerakkan merentasi sempadan, pasukan dari negara berlainan mesti sudah dilatih untuk bekerjasama dan jelas tentang peranan masing-masing,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Malaysia mempunyai kemudahan latihan maju dan menerima pengiktirafan daripada Kumpulan Penasihat Antarabangsa Mencari dan Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (INSARAG) atas keupayaan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart).
Bagi memperkukuh penyelarasan bantuan bencana serantau, Malaysia turut menggesa supaya Pusat Penyelarasan Asean bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre) diperkukuh melalui sokongan institusi dan pembiayaan mampan.
Zahid berkata kerjasama pengurusan bencana Asean diperluas menerusi pelancaran tiga pelan kerja bagi tempoh 2026 hingga 2030 bersama China, Jepun dan Korea Selatan. Pelan itu merangkumi perkongsian teknologi, latihan dan penggunaan peralatan bersama negara rakan, selain membolehkan setiap negara mengurus keperluan tenaga kerja kemanusiaan masing-masing.
Dalam pertemuan dua hala dengan wakil Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Korea Selatan (MOIS), Park Cheon-soo, di luar AMMDM ke-14 semalam, Zahid berkata Malaysia mencadangkan Nadma dan MOIS mengenal pasti peluang latihan bersama serta pertukaran kepakaran pengurusan bencana.
“Kerjasama ini boleh diteroka sementara draf Memorandum Persefahaman mengenai pengurusan bencana sedang melalui semakan undang-undang oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Malaysia juga sedang meneliti peluang menghantar pegawai pengurusan bencana ke Korea Selatan menerusi Program Pengurusan Bencana Prestij. Mereka akan mempelajari sistem amaran awal dan teknologi kecemasan serta mengenal pasti amalan yang boleh disesuaikan untuk kegunaan di Malaysia.
Zahid tiba di Jakarta pada Selasa selepas menyelesaikan beberapa siri pertemuan mengenai kerjasama pembangunan luar bandar di Bali, sebagai sebahagian lawatan kerja lima harinya ke Indonesia yang bermula Isnin. Semalam, beliau menghadiri AMMDM ke-14 dan Persidangan Pihak-Pihak ke-15 (COP) kepada Perjanjian Asean mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER), yang dianjurkan Indonesia.
Pada peringkat serantau, Zahid berkata Malaysia kekal komited untuk bekerjasama dengan negara anggota Asean dan rakan dialog bagi memastikan Program Kerja AADMER 2026-2030 diterjemahkan kepada tindakan nyata untuk melindungi nyawa, mata pencarian dan hasil pembangunan.