Malaysia selaras projek pengurusan bencana Asean-China bernilai RM19.7 juta

Malaysia diberi tanggungjawab oleh China dan negara anggota Asean untuk menyelaraskan projek kerjasama pengurusan bencana Asean-China bernilai kira-kira RM19.7 juta, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Tangerang, Indonesia, hari ini.
Beliau berkata projek itu diselaraskan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara dan akan berlangsung sehingga Oktober 2028.
Skop projek merangkumi latihan kakitangan, sokongan teknologi maklumat dan komunikasi, serta pembangunan sistem penyelarasan kecemasan dan arahan.
“Malaysia diiktiraf atas keupayaan dan pengalamannya, dan diberi tanggungjawab melaksanakan pelan kerjasama pengurusan bencana antara Asean dengan China,” katanya, seperti dipetik Bernama.
Zahid berkata pelantikan itu merupakan tanda keyakinan yang besar terhadap Malaysia. Beliau turut menegaskan Malaysia perlu memimpin dan mengemudi pelaksanaan projek itu dengan berkesan.
Beliau menyampaikan kenyataan itu pada mesyuarat peringkat menteri Asean-China keenam mengenai pengurusan bencana di Tangerang.
Zahid tiba di Jakarta pada Selasa selepas menghadiri beberapa siri mesyuarat mengenai kerjasama pembangunan luar bandar di Bali. Lawatan kerja lima hari ke Indonesia itu bermula pada Isnin.