Malaysia terus runding dengan AS pertahan kadar tarif keseluruhan 19 peratus

Sumber: Harian Metro
Malaysia terus runding dengan AS pertahan kadar tarif keseluruhan 19 peratus
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) sehingga suku pertama tahun depan bagi memastikan kadar tarif keseluruhan yang dikenakan terhadap negara ini tidak melebihi 19 peratus, selaras dengan persefahaman terdahulu. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata keputusan akhir dijangka dibuat pada suku pertama 2027.

Beliau berkata, AS setakat ini memberi indikasi kemungkinan kadar tarif antara 18 hingga 25 peratus susulan siasatan di bawah Seksyen 301, khususnya berkaitan lebihan kapasiti pengeluaran. Bagaimanapun, kadar berkenaan belum dimuktamadkan dan Malaysia masih berpeluang mengemukakan penjelasan serta justifikasi kepada pihak AS.

Johari berkata, Malaysia mahu memastikan persetujuan terdahulu yang menetapkan kadar tarif 19 peratus terus dihormati kerana negara ini antara yang terawal menandatangani perjanjian berkenaan.

“Saya sudah jelaskan kepada pihak AS bahawa kita adalah negara pertama yang menandatangani perjanjian itu dengan persefahaman kadar 19 peratus. Jadi, kita mesti mendapat manfaat daripada persetujuan berkenaan.

“Walaupun mereka memberikan indikasi kadar antara 18 hingga 25 peratus, kadar tarif keseluruhan negara kita tidak sepatutnya melebihi 19 peratus,” katanya pada sidang media sempena majlis permulaan operasi pemasangan tempatan (CKD) BYD di Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata, kadar tarif yang dikenakan terhadap Malaysia ketika ini kekal 10 peratus sementara siasatan berkenaan belum dimuktamadkan. Rundingan pada peringkat pegawai dan menteri akan diteruskan bagi mempertahankan kepentingan perdagangan negara.

Menurut Johari, siasatan Seksyen 301 AS meneliti empat perkara utama, iaitu lebihan kapasiti pengeluaran, buruh paksa, alam sekitar dan subsidi kerajaan. Malaysia setakat ini tidak berdepan isu berkaitan subsidi kerajaan, manakala isu buruh paksa sudah dimuktamadkan pada kadar 10 peratus.

Siasatan mengenai lebihan kapasiti pengeluaran masih berjalan dan menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam rundingan. Johari berkata Malaysia sudah berulang kali menjelaskan kepada AS bahawa negara ini tidak mempunyai masalah berkenaan.

Namun, takrifan isu lebihan kapasiti turut mengambil kira produk dari negara ketiga yang diimport untuk digunakan dalam pengeluaran tempatan. Oleh itu, katanya, Malaysia perlu menerangkan kedudukan rantaian bekalan industri domestik supaya penggunaan produk import yang dikaitkan dengan lebihan kapasiti negara lain tidak menyebabkan negara ini turut dikategorikan dalam isu itu.

Mengulas sektor yang diberi perhatian, Johari berkata industri besi dan keluli antara sektor yang mungkin diteliti dari sudut kapasiti pengeluaran. Industri semikonduktor pula tidak termasuk dalam skop berkenaan setakat ini.

Malaysia akan terus berbincang dengan AS, termasuk pada peringkat menteri, untuk meyakinkan negara itu bahawa Malaysia tidak mempunyai lebihan kapasiti seperti yang dibangkitkan dalam siasatan. Kerajaan akan menggunakan tempoh rundingan yang masih ada untuk mengemukakan penjelasan dan memastikan persefahaman asal berkaitan kadar tarif 19 peratus tidak berubah.