MDEC: Malaysia berpotensi jadi hab GBS berteraskan AI

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi menjadi hab perkhidmatan perniagaan global (GBS) berteraskan kecerdasan buatan (AI) sekiranya syarikat tempatan merangka semula perkhidmatan dan proses kerja mereka, menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Pengerusi MDEC, Ganesh Kumar Bangah, berkata syarikat juga perlu membangunkan bakat tempatan dan bekerjasama dengan kerajaan untuk menangani halangan pertumbuhan. Menurutnya, ejen AI berpotensi melaksanakan keseluruhan proses perniagaan dengan lebih meluas, termasuk dalam bidang kewangan dan perakaunan, perolehan, sumber manusia serta perkhidmatan pelanggan.
Beliau berkata peneraju generasi baharu industri GBS bukan semestinya syarikat dengan tenaga kerja paling besar atau kos operasi terendah. Sebaliknya, syarikat yang menggunakan teknologi pintar untuk memberikan nilai tertinggi berpotensi berada di hadapan. Untuk mencapai matlamat itu, AI perlu digabungkan dalam model operasi sejak awal, dengan proses kerja dirangka semula.
Perubahan tersebut, katanya, boleh membantu syarikat GBS beralih daripada pemprosesan urus niaga kepada kerja berkaitan analitik, automasi pintar, cerapan perniagaan dan pembuatan keputusan strategik.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Azlan Sharom, pula berkata agensi kerajaan perlu bekerjasama dengan persatuan industri bagi mengenal pasti halangan kepada pertumbuhan. Beliau turut menggesa syarikat meneroka penggunaan AI untuk mengubah proses kerja agar pekerja dapat menumpukan perhatian kepada tugas yang membawa nilai tambah lebih tinggi.
Azlan juga menekankan kepentingan pelaburan dalam pembangunan kemahiran yang diperlukan rakyat Malaysia untuk menerajui peralihan tersebut.
Pengerusi GBS Malaysia, Datuk Raymond Davadass, berkata pertumbuhan industri pada fasa seterusnya perlu dinilai berdasarkan cabaran perniagaan yang mampu diselesaikan. Beliau berkata strategi industri perlu memberi tumpuan kepada penambahan nilai kepada pelanggan, dengan AI berupaya menukarkan data menjadi maklumat bernilai, mengunjurkan risiko dan membantu menyelesaikan masalah perniagaan yang lebih kompleks.
Menurut Raymond, selepas membina reputasi dalam kecemerlangan operasi, syarikat GBS perlu memanfaatkan data untuk menghasilkan cerapan dan membantu pelanggan membuat keputusan lebih baik.