ASEAN perlu perkukuh kerjasama untuk tingkat peranan ekonomi global

KUALA LUMPUR: Malaysia dan negara ASEAN perlu memperkukuh kerjasama serantau serta kedudukan sebagai kuasa pertengahan bagi memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi dan geopolitik antarabangsa, kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, di sini hari ini.
Beliau berkata, persaingan kuasa besar semakin mempengaruhi landskap global, khususnya persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang turut memberi kesan kepada rantau ini. Keadaan itu, katanya, menjadikan ASEAN semakin strategik dalam ekonomi global.
Berucap pada National Economic Outlook Conference 2026 anjuran Malaysian Institute of Economic Research (MIER), Chin Tong berkata negara ASEAN tidak seharusnya melihat satu sama lain sebagai pesaing semata-mata. Sebaliknya, hubungan serantau perlu diperkukuh untuk membina rantau yang lebih berdaya tahan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.
“Ini masa untuk kuasa pertengahan memainkan peranan lebih besar. Kita perlu melihat Malaysia sebagai kuasa pertengahan yang penting pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata Malaysia, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Thailand perlu mengambil pendekatan bekerjasama, bukannya bersaing sesama sendiri. ASEAN, katanya, perlu memainkan peranan kepimpinan dalam memperkukuh hubungan serantau.
Kerjasama itu juga penting ketika negara bersaing untuk mendapatkan pelaburan, kata Chin Tong. Beliau mengingatkan supaya usaha menarik syarikat antarabangsa tidak menjejaskan standard buruh, gaji dan perlindungan alam sekitar.
Negara ASEAN, katanya, perlu memastikan persaingan ekonomi tidak menyebabkan standard berkenaan merosot. Sebaliknya, rantau ini perlu membina kekuatan bersama melalui kerjasama dan pembangunan ekosistem ekonomi yang lebih mampan.
Dalam pada itu, Malaysia, Singapura dan Vietnam perlu memastikan tiada pihak mengambil kesempatan untuk memintas pelaksanaan Cukai Minimum Global (GMT), termasuk dengan menawarkan insentif khas bagi mengatasi negara pesaing.
“Kita mesti memastikan syarikat multinasional membayar cukai yang sepatutnya mereka bayar dan tiada negara menawarkan sebarang insentif khas semata-mata untuk mengatasi pesaing serta mengelak GMT,” katanya.
Chin Tong turut berkata Malaysia perlu mengubah pendekatan bagi membina kekuatan ekonomi, termasuk beralih daripada negara perdagangan kepada negara teknologi. Malaysia tidak semestinya perlu bersaing pada tahap teknologi tertinggi, sebaliknya perlu menjadi pemain penting dalam rantaian teknologi global.
Beliau berkata industri semikonduktor antara bidang yang boleh memainkan peranan itu, ketika syarikat antarabangsa mempelbagaikan operasi di luar China. Pembangunan industri teknologi juga perlu disokong keupayaan tempatan dan aktiviti bernilai tambah supaya Malaysia dapat menyumbang lebih besar kepada ekosistem teknologi global.
Infrastruktur seperti pusat data pula perlu dimanfaatkan untuk mewujudkan kegiatan ekonomi, pekerjaan dan perkhidmatan berkaitan yang lebih luas. Chin Tong berkata, langkah itu penting bagi memastikan manfaat pelaburan turut dirasai ekonomi domestik.
Beliau berkata Malaysia dan negara ASEAN perlu terus memperkukuh keupayaan masing-masing serta hubungan serantau bagi menghadapi perubahan ekonomi global dan persaingan kuasa besar.