Maklumat penduduk bawa penemuan rokok disyaki tidak bercukai di Ranau

RANAU: Maklumat daripada penduduk membawa kepada penemuan beberapa kotak berisi rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai dalam Ops Tiris di daerah ini, semalam. Seorang lelaki turut ditahan dalam operasi berkenaan.
Operasi itu dijalankan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, berkata operasi berkenaan turut bertujuan memeriksa lesen penjual dan pengedar barangan keperluan bersubsidi di beberapa premis.
Menurutnya, operasi itu juga dilaksanakan bagi membanteras kegiatan penyelewengan serta penyeludupan. Pemeriksaan susulan maklumat masyarakat setempat menemukan kotak-kotak berisi rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai kastam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan.
Mursalin merakamkan penghargaan kepada penduduk di daerah itu atas kerjasama dan keprihatinan mereka menyalurkan maklumat kepada polis. Katanya, masyarakat berperanan sebagai “mata dan telinga” Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan memberikan maklumat awal bagi membantu membanteras jenayah.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiat rondaan dan pemeriksaan menerusi Ops Tiris bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang di Ranau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau menerusi talian 088-875222. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan, katanya.