Dua lelaki dibebaskan daripada tuduhan mengedar lebih 2kg methamphetamine

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan D Thanasilan, 38, dan I Yuvaraj, 26, daripada tuduhan mengedar 2,145.68 gram methamphetamine di Kulai, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh Gill Ranjit Singh membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan, tanpa memanggil kedua-dua tertuduh membela diri. Mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Dalam alasan penghakimannya, Avinder Singh berkata pendakwaan tidak membuktikan jagaan dan kawalan, pengetahuan, pemilikan serta pengedaran dadah oleh tertuduh, selain gagal membuktikan wujud niat bersama antara mereka.
Beliau turut menyatakan kes pendakwaan tidak selamat kerana terdapat percanggahan material dalam keterangan saksi pendakwaan yang juga pegawai serbuan (SP3). Kegagalan mengemukakan eksibit dan kenderaan relevan, menolak kemungkinan akses pihak ketiga serta kelemahan rantaian keterangan juga diambil kira.
Mahkamah menolak penjelasan SP3 bahawa percanggahan berhubung pemindahan dadah untuk membuktikan pembabitan tertuduh hanya kesilapan atau kekhilafan. Menurut Avinder Singh, perkara itu menyentuh asas kes pendakwaan.
Ketika pemeriksaan balas, SP3 mengakui beliau tidak melihat tertuduh mana yang membuka kereta Proton Waja, siapa membawa beg berisi dadah atau siapa meletakkannya ke dalam kereta itu. Mahkamah turut mengambil kira percanggahan mengenai dakwaan tertuduh kedua memindahkan beg plastik merah ke dalam Proton Waja.
Kunci kereta yang dikatakan dirampas daripada seluar pendek Thanasilan juga tidak dikemukakan di mahkamah. Tiada keterangan cap jari atau DNA yang menghubungkan kedua-dua tertuduh dengan kereta itu atau eksibit dadah berkenaan, katanya.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 2,145.68 gram di hadapan sebuah bengkel di Jalan Bunga Tanjung, Kulai, pada 8.40 malam, 8 Jun 2022.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar mengemukakan enam saksi. Thanasilan diwakili peguam Mohd Daud Ismail, manakala Yuvaraj diwakili peguam daripada Tetuan KL Chee & Co.