MAG tempah 10 Boeing 787, nilai katalog keseluruhan AS$9.3 bilion

MALAYSIA Aviation Group (MAG) memperoleh 10 pesawat Boeing 787 Dreamliner dengan opsyen tambahan enam pesawat, membabitkan nilai katalog keseluruhan AS$9.3 bilion (kira-kira RM38.3 bilion), bagi memperkukuh kecekapan operasi dan menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar, berkata perkara itu pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian pemerolehan pesawat berkenaan di sini, semalam.
Beliau berkata, nilai itu merangkumi kesemua 16 pesawat termasuk enjin dan berdasarkan harga katalog, sebelum sebarang diskaun diambil kira. Pemerolehan itu sebahagian daripada strategi pemodenan pesawat MAG serta menyokong sasaran kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) kira-kira lima peratus menerusi pelan perniagaan jangka panjang kumpulan.
Menurut Nasaruddin, kesemua 10 pesawat yang ditempah secara langsung daripada Boeing dijadual diterima secara berperingkat antara 2032 hingga 2035. Pesawat itu akan menggantikan tujuh Airbus A350-900 yang kini digunakan Malaysia Airlines.
Beliau berkata, pemilihan pesawat mengambil kira perancangan rangkaian penerbangan bagi tempoh 15 tahun akan datang, peningkatan pengalaman pelanggan serta ekonomi pesawat dan enjinnya. MAG merancang menggunakan pesawat itu untuk tempoh panjang, dengan perancangan sehingga sekitar 2045.
Nasaruddin berkata, pesawat baharu itu dijangka meningkatkan kecekapan bahan api kira-kira 25 peratus berbanding pesawat generasi terdahulu, sekali gus membantu MAG mengawal kos operasi. Penggunaan pesawat generasi baharu ketika ini, katanya, sudah membolehkan kumpulan mencatat peningkatan kecekapan bahan api sekitar 12 hingga 14 peratus.
Beliau berkata, kecekapan bahan api semakin penting berikutan persekitaran kos operasi yang mencabar dan harga bahan api yang tinggi. Keadaan itu mendorong MAG mengurangkan kira-kira enam peratus kapasiti penerbangannya tahun ini. Kumpulan turut menjangka pesawat baharu dan produk yang ditawarkan dapat meningkatkan sedikit hasil penumpang, namun tambang akan terus ditetapkan secara dinamik berdasarkan permintaan dan penawaran.
Mengenai pembiayaan, Nasaruddin berkata MAG terbuka mempertimbangkan pelbagai mekanisme, termasuk jual dan pajak balik, pajakan operasi serta pajakan kewangan. Keputusan memuktamadkan tempahan ketika ini juga penting susulan permintaan global yang tinggi terhadap pesawat, dengan kira-kira 18,000 pesawat sudah ditempah.
MAG kini berdepan kelewatan penerimaan pesawat secara purata antara tiga hingga tujuh bulan. Justeru, kumpulan mengambil kira pelan kesinambungan perniagaan untuk mengurus risiko kelewatan penghantaran. Nasaruddin berkata MAG menyasarkan jumlah pesawat meningkat kepada 129 menjelang 2035, daripada 101 ketika ini.
Kapasiti penerbangan kumpulan meningkat 12 peratus tahun ini berbanding tahun lalu. Bagaimanapun, MAG akan meneruskan strategi pertumbuhan secara berdisiplin dengan mengambil kira perkembangan kos operasi. Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.