MAG pesan 10 Boeing B787-10 untuk gantikan pesawat Airbus A350

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) akan menggantikan tujuh pesawat Airbus A350-900 milik Malaysia Airlines Bhd dengan Boeing B787-10 Dreamliner menerusi pesanan tetap bagi 10 pesawat, dengan pilihan membeli enam lagi. Pesawat baharu itu dijadualkan dihantar antara 2032 hingga 2035.
Nilai buku pemerolehan itu dianggarkan kira-kira US$9.3 bilion, namun MAG tidak mendedahkan nilai komersial sebenar perjanjian berkenaan. Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Captain Nasaruddin A. Bakar, berkata penghantaran akan bertepatan dengan proses persaraan secara berperingkat pesawat A350-900 sedia ada.
Beliau berkata pesawat A350-900 itu dijangka berusia kira-kira 13 hingga 14 tahun ketika digantikan. Nasaruddin bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian membabitkan MAG, Boeing dan GE Aerospace hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, Presiden Boeing Global Asia Tenggara Travis Sullivan dan Ketua Pegawai Jualan Komersial dan Pelanggan GE Aerospace Jason Tonich turut menghadiri majlis itu.
Pada 19 Nov, Business Times melaporkan MAG hampir membuat pesanan antara 16 hingga 20 pesawat Boeing B787 Dreamliner sebagai sebahagian daripada program penggantian pesawat badan lebarnya. Ketersediaan slot penghantaran difahamkan antara faktor yang mempengaruhi pemilihan Dreamliner berbanding pesawat pesaing Airbus A350-1000.
Boeing dipercayai mempunyai slot penghantaran seawal 2029 atau 2030, manakala Airbus A350-1000 dijangka hanya boleh didapati selepas 2032. Pesanan terbaharu itu menjadikan Malaysia Airlines syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang mengendalikan Boeing B787-10 Dreamliner.
Setiap pesawat akan dikuasakan enjin GEnx-1B keluaran GE Aerospace dan dilengkapi 319 tempat duduk dalam tiga kelas kabin. Susunan itu membolehkan syarikat penerbangan berkenaan menyediakan kapasiti lebih besar bagi laluan jarak jauh terpilih.
Pesawat itu dijangka berkhidmat ke destinasi antarabangsa utama di Eropah dan Asia Pasifik, termasuk London, Paris, Sydney, Melbourne, Tokyo, Osaka dan Seoul. Namun, destinasi tertakluk kepada perancangan rangkaian serta keperluan operasi pada masa hadapan. Nasaruddin berkata MAG akan mengumumkan destinasi tambahan selepas penilaian lanjut.
Beliau menyifatkan pemerolehan Dreamliner sebagai pelaburan strategik untuk masa depan MAG. Pesawat berkenaan, katanya, akan meningkatkan keupayaan kumpulan untuk menyediakan kapasiti, kecekapan dan fleksibiliti lebih tinggi bagi pasaran antarabangsa utama, selain menawarkan pengalaman perjalanan yang diharapkan pelanggan.
Pesanan itu menambah kepada komitmen sedia ada MAG bagi 40 pesawat Airbus A330neo dan 55 Boeing B737 di bawah program pemodenan armadanya. Malaysia Airlines kini mengendalikan lebih 37 pesawat Boeing B737 Next Generation dan 19 B737-8.
Buku pesanan pesawat badan sempit syarikat itu merangkumi 43 B737-8 dan 12 B737-10 melalui pesanan terus daripada Boeing serta aturan pajakan. Penghantaran baki pesawat berkenaan dijangka selesai menjelang 2030.
Secara berasingan, MAG memperbaharui perjanjian dengan GE Aerospace bagi penggunaan perisian Fuel Insight dan FlightPulse untuk meningkatkan pengurusan bahan api serta kecekapan operasi. Kerjasama itu bermula lebih lima tahun lalu.