Wawa Zainal luluh hati tonton rakaman CCTV anak didakwa dibuli

KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan, Wawa Zainal, berasa luluh hati selepas menonton rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian membabitkan anak lelakinya yang didakwa menjadi mangsa buli di sekolah. Perasaan itu dikongsikannya menerusi Threads, hari ini.
Wawa, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 34, berkata dia terkilan kerana sebelum ini tidak mengambil tindakan lanjut setiap kali anaknya mengadu berdepan perbuatan kasar rakan sekolah, termasuk tangan dipulas dan ditumbuk.
Menurutnya, sebagai ibu, dia kesal kerana tidak menyedari pengalaman yang dilalui anaknya sehingga rakaman CCTV itu diteliti. Bagaimanapun, dia bersyukur pihak pengurusan sekolah dan guru bertindak segera serta memandang serius insiden berkenaan.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan dan guru-guru kerana mengambil tindakan segera serta memandang serius isu buli yang membabitkan anak kami.
“Apabila melihat semula rakaman CCTV, sebagai seorang ibu, luluh hati melihat apa yang anak sendiri lalui di sekolah,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Wawa turut memohon maaf kepada anak lelakinya kerana tidak bertindak sewajarnya apabila kanak-kanak itu menceritakan perbuatan kasar yang dialaminya.
“Buat anak mama, mama minta maaf! Maafkan mama kerana sebelum ini tidak mengambil tindakan selanjutnya setiap kali abang bercerita tangan selalu dipulas dan ditumbuk manja oleh kawan.
“Kononnya nak jadikan abang kuat untuk menghadapi kerasnya dunia,” tulisnya.
Wawa berharap kejadian yang menimpa anaknya menjadi pengajaran kepada ibu bapa supaya lebih peka terhadap perubahan tingkah laku dan aduan anak-anak. Katanya, perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai buli tidak seharusnya dipandang ringan.
Beliau berkata ibu bapa bukan sahaja perlu memastikan anak mereka tidak menjadi mangsa buli, malah perlu mendidik mereka supaya tidak menjadi pelaku. Wawa turut mengingatkan ibu bapa agar mengajar anak tentang empati, hormat terhadap orang lain dan batas dalam bergurau.
“Semoga ibu bapa dan pihak sekolah terus berganding bahu dalam membendung budaya buli serta mewujudkan persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Terdahulu, Wawa mendakwa anak lelakinya pernah menjadi mangsa buli rakan sekolah, mendorongnya menyuarakan kebimbangan kepada suaminya, pelakon Aeril Zafrel. Pada awalnya, Aeril menganggap perbuatan itu sebagai gurauan biasa dalam kalangan kanak-kanak lelaki dan berpendapat anak mereka perlu belajar menghadapi cabaran kehidupan.