Indeks Pelopor naik 2.2 peratus pada September

KUALA LUMPUR: Indeks Pelopor (LI) Malaysia meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun kepada 116.0 mata pada September, berbanding 113.5 mata dalam tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan.
Pertumbuhan itu terutama didorong kenaikan 44.1 peratus dalam import benar logam berharga asas dan logam bukan ferus lain, serta peningkatan 11.5 peratus dalam import benar semikonduktor. Bagaimanapun, Jabatan Perangkaan berkata peningkatan tersebut sebahagiannya diimbangi kemerosotan komponen lain, khususnya jumlah unit rumah yang diluluskan.
Pada perbandingan bulan ke bulan, LI susut 0.3 peratus, terutama disebabkan nilai jualan pembuatan yang dijangka lebih rendah. Meski begitu, indeks itu kekal melepasi aliran jangka panjangnya sebanyak 100.0 mata pada September, menandakan prospek ekonomi positif bagi bulan-bulan akan datang.
Jabatan itu menjangkakan prospek positif berkenaan akan terus disokong prestasi eksport yang menggalakkan, daya tahan sektor domestik dan aliran masuk pelaburan strategik yang berterusan. Namun, perkembangan geopolitik serta keadaan perdagangan global yang tidak menentu perlu terus dipantau.
Sementara itu, Indeks Serentak (CI), yang mengukur prestasi ekonomi semasa, meningkat 2.5 peratus tahun ke tahun kepada 132.4 mata pada September daripada 129.2 mata setahun sebelumnya. Kenaikan itu disokong pertumbuhan dalam semua komponennya.
Antara penyumbang utama ialah indeks pengeluaran perindustrian dan caruman benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, yang masing-masing meningkat 6.3 peratus dan 5.8 peratus. Secara bulanan, CI naik 0.8 peratus, didorong penggunaan kapasiti pembuatan dan indeks volum perdagangan runcit.